-->

Kanak-kanak terjatuh keluar dari kereta ketika ibunya buat U-Turn, mangsa nyaris maut dirempuh kenderaan lain

Seorang kanak-kanak yang dipercayai berusia lingkungan 4 tahun ke bawah nyaris digilis kenderaan lain, selepas terjatuh keluar dari kenderaan ibu bapanya.

Berdasarkan video rakaman dashcam orang awam, kejadian itu berlaku pada jam 5.41 petang di persimpangan lampu isyarat berhampiran Billion, Kota Bharu, Kelantan.

Video kejadian boleh tonton di Telegram The Reporter.

Difahamkan, kereta yang dipandu ibunya terdahulu membuat Pusingan U dan secara tiba-tiba pintu bahagian belakang kiri terbuka menyebabkan mangsa terus terjatuh.

Mangsa kemudian dilanggar kereta putih yang tidak menyedari keberadaannya sebelum dirempuh sekali lagi oleh kereta ketiga menyebabkan mangsa terpelanting dengan mukanya terseret di jalan raya.

Terkejut melihat kejadian itu, salah seorang penunggang motosikal di laluan bertentangan segera ke depan untuk menghalang mangsa dirempuh kenderaan lain.

Seorang lagi penunggang motosikal segera mendapatkan mangsa dan dibawa ke tepi jalan untuk memeriksa keadaannya.

Tidak beberapa lama kemudian, seorang wanita tampil mendapatkan semula anaknya.

Di media sosial, netizen mengakui terkejut menonton video tersebut dan mengingatkan kepada orang ramai untuk tidak mengabaikan aspek keselamatan.

“Sebab itulah pentingnya letak anak kecil di tempat duduk khas (car seat) dan dipakaikan tali pinggang keledar. Paling tidak pun, gunakan fungsi child lock,” kata netizen.

“Geram tengok video ni. Jenis parent yang tak alert dengan keselamatan anak dalam kereta. Child lock ada, kena check betul-betul pintu kereta dah dikunci atau tidak. Andai kata anak jenis aktif, tegas sikit marah pun tak apa atau letak anak di tempat duduk depan untuk mudah dipantau,” tambah netizen lain. – The Reporter

The post Kanak-kanak terjatuh keluar dari kereta ketika ibunya buat U-Turn, mangsa nyaris maut dirempuh kenderaan lain appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar