-->

‘Video itu telah disunting untuk mendatangkan kemarahan rakyat’ – Pegawai Khas kepada Fuziah Salleh buat laporan polis

Pegawai Khas kepada Fuziah Salleh, Aidil Haryman Mat Nor, telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan petang tadi berhubung penularan video yang membabitkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Aidil berkata, laporan itu dibuat agar siasatan dapat dilakukan terhadap beberapa pengguna media sosial yang dikenal pasti membuat catatan berunsur fitnah dan menghasut rakyat untuk mempercayai video tersebut yang tiada kaitan dengan keadaan semasa.

“Perbuatan ini tidak bertanggungjawab, menimbulkan spekulasi dan menjatuhkan kredibiliti serta maruah seorang menteri kabinet, selain meremehkan usaha beliau sebagai seorang Timbalan Menteri.

“Tulisan tersebut dengan sengaja mengaitkan dan mengaibkan Timbalan Menteri dengan tujuan menyakiti dan memfitnah beliau,” katanya.

Jelas Aidil lagi, video yang tular itu telah disunting dan disebarkan dengan niat jahat. Sedangkan video tersebut dibuat untuk menunjukkan perbandingan harga Jualan Rahmah Bergerak dengan harga yang diperolehi dari sebuah pasar raya tempatan di Pulau Langkawi.

Malah tiada dinyatakan perbelanjaan RM136.30 itu untuk bekalan keluarga selama sebulan.

Terdahulu, Fuziah tampil menjelaskan video yang tular itu adalah video lama (Julai 2023) dan telah diambil di luar konteks yang menyebabkan ramai pengguna media sosial mengecamnya.

Video tersebut dibuat ketika timbulnya isu yang mendakwa RM200 tidak dapat membeli apa-apa.

Sumber: Bernama

The post ‘Video itu telah disunting untuk mendatangkan kemarahan rakyat’ – Pegawai Khas kepada Fuziah Salleh buat laporan polis appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar