-->

‘Tiada keturunan kami yang pergi ke tempat perjudian’ – Datin Noor Kartini kesal Ameera Khan difitnah berjudi lumba kuda

Pempengaruh media sosial, Ameera Khan baru-baru ini memuat naik gambar dirinya menghadiri sebuah acara lumba kuda semasa berada di luar negara, menimbulkan pelbagai reaksi netizen.

Dalam gambar itu, Ameera dilihat memegang tiket dan ada komen netizen yang mendakwa adik kepada selebriti popular itu berjudi.

Bagaimanapun, Ameera tampil menafikan dakwaan tidak berasas itu dan menjelaskan kehadirannya ke lokasi itu hanyalah untuk berkongsi, bukannya seperti yang didakwa oleh netizen.

“Pilihan saya adalah membuat perkongsian (video/gambar). Apa sahaja yang anda mahu ambil daripada perkongsian itu, terpulang.

“Apa yang saya kongsikan di Instagram untuk anda lihat. Itu sahaja. Kerja saya hanya untuk berkongsi, saya tidak kisah,” katanya.

Geram anak difitnah

Dakwaan Ameera berjudi di acara lumba kuda itu juga menimbulkan rasa kesal ibunya, Noor Kartini yang difahamkan turut datang ke tempat itu bersama dengan anaknya.

“Kita kena faham acara dan tempat perjudian itu berbeza. Apa yang Ameera bawa, sebenarnya beg jenama mewah. Kita kena tahu sejarah di sebalik sesebuah jenama itu.

“Kadang-kadang rasa geram sebab macam mereka tidak faham fesyen, jenama dan sejarah di sebalik barangan berkenaan.

“Alhamdulillah, tiada siapa boleh lihat anak-anak saya ada di kelab, tempat perjudian, minum arak, hisap rokok, shisha, vape dan lain-lain.

“Itu yang buat mama boleh rasa bangga. Allah pelihara dan tiada dalam keturunan kami yang pergi ke tempat perjudian dan melakukan perbuatan seperti yang didakwa. Kami tak pernah jejak kaki pun ke tempat perjudian.

“Kalau nak cakap fasal lain, saya rasa semua orang melalui fasa tersendiri seperti pada usia remaja, dewasa dan matang. Ada perubahan dalam kehidupan, tiada orang yang keluar terus sempurna.

“Kita pun kenal siapa keluarga, tahu anak kita siapa,” katanya dalam hantaran di salah satu akaun media sosialnya.

Bagaimanapun, hantaran itu dipadamkan tidak beberapa lama kemudian kerana beliau tidak mahu memanjangkan isu tersebut.

“Saya padam sebab tak mahu memanjangkan lagi isu ini dan ingin beritahu netizen yang mereka salah,” ujarnya.

Sumber: Gempak, Ameera Khan

The post ‘Tiada keturunan kami yang pergi ke tempat perjudian’ – Datin Noor Kartini kesal Ameera Khan difitnah berjudi lumba kuda appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar