-->

‘Tiada isu pukat-memukat, kalau peserta RX-Z datang dengan standard, kita tak kacau’ – Pengarah JPJ Terengganu

Sebanyak 126 motosikal termasuk motosikal milik peserta Himpunan RX-Z Member 5.0, telah disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu atas pelbagai kesalahan sepanjang sembilan hari Operasi Khas Motosikal (OKM) peringkat negeri Terengganu.

Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata, tidak timbul isu ‘pukat-memukat’ sempena Himpunan RX-Z Member 5.0 berlangsung di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak yang berakhir semalam.

Menurutnya, motosikal yang disita didapati telah melakukan pelbagai kesalahan modifikasi ke atas kenderaan. Antaranya menggunakan ekzos paip, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi atau tiada langsung nombor pendaftaran.

Kes akan dirujuk ke pihak kimia & polis

Katanya, terdapat juga motosikal yang disita yang mana nombor casis (body) sudah diganggu. Sekiranya serius, JPJ akan merujuk kes itu kepada pihak kimia bagi menentukan kesahihan nombor asalnya. Selain itu juga, sekiranya motosikal tersebut merupakan motosikal yang dicuri, pihak JPJ akan menyerahkan kes itu kepada pihak polis.

Beliau juga menegaskan, sekiranya peserta RX-Z datang dalam keadaan yang memenuhi standard, tiada tindakan undang-undang yang akan dikenakan.

“Sekiranya mereka (peserta RX-Z Member 5.0) datang dalam keadaan standard (asal), kita tidak kacau. Tetapi mereka (segelintir) datang dengan memperlihatkan seolah-olah mencabar undang-undang.

“Terlalu ekstrim, dengan ekzos bising (paip), nombor plat (pendaftaran) tidak mengikut spesifikasi (kecil) atau langsung tiada,” katanya.

OKM dilaksana 1 – 30 September 2023

Dalam operasi khas itu, 126 motosikal telah ditahan atas kesalahan plat kecil, tiada lesen memandu, memandu bawah umur dan motosikal diubahsuai secara ekstrim.

OKM dilaksanakan bagi mengurangkan kadar kematian dalam kalangan penunggang motosikal. Operasi khas itu dijalankan bermula 1 hingga 30 September depan.

Terdahulu, sekatan yang telah dijalankan oleh pihak JPJ di Terengganu ke atas peserta RX-Z dikecam netizen malahan ada yang menyifatkan operasi tersebut sebagai satu sabotaj ke atas peserta-peserta RX-Z yang datang berkunjung ke negeri itu.

Sumber: Harian Metro

The post ‘Tiada isu pukat-memukat, kalau peserta RX-Z datang dengan standard, kita tak kacau’ – Pengarah JPJ Terengganu appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar