-->

Himpunan RXZ Members 5.0 mungkin tidak akan diterus tahun depan? Polis Terengganu nafi sabotaj program permotoran

Himpunan RXZ Member 5.0 berkemungkinan tidak akan dianjurkan lagi pada tahun depan. Walaupun perkara itu belum diputuskan oleh pihak penganjur, namun mereka memberi bayangan himpunan permotoran yang dimulakan pada 2017 itu mungkin berakhir pada tahun ini.

Pengarah program, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, ia berikutan ada peserta program berkenaan yang menghadapi masalah. Termasuk ramai yang ditahan oleh pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan motosikal masing-masing.

Penganjur kecewa ada peserta ditahan & motosikal disita polis

“Sambutan Himpunan RXZ Member 5.0 pada kali ini begitu meriah dan luar biasa berbanding edisi terdahulu. Lebih 60,000 peserta dari seluruh negara hadir, termasuk dari Thailand, Brunei dan Singapura.

“Namun saya kecewa dengan apa yang berlaku sepanjang dua hari penganjuran kerana ada peserta ditahan dan motosikalnya disita oleh pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan.

“Saya sendiri pun perlu berjumpa dengan pihak polis beberapa kali untuk menyelesaikan masalah itu kerana ramai yang meminta tolong.

“Saya menangis, kecewa dan buntu. Namun saya tidak nafikan yang ditahan itu melakukan pelbagai kesalahan walaupun garis panduan dan peraturan sudah dimaklumkan.

“Jadi, untuk Himpunan RXZ Member 6.0 tahun depan belum pasti sama ada program tahun ini yang terakhir atau sebaliknya,” katanya.

Polis ambil tindakan selepas terima aduan orang awam

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan tampil menafikan dakwaan yang mengatakan pihaknya mensabotaj program tersebut.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan Op Khas Motosikal itu dijalankan secara bersepadu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas menerima aduan dan rungutan orang ramai terhadap tindakan segelintir penunggang motosikal yang bukan sahaja menunggang secara melulu, malah mengganggu ketenteraman awam.

Operasi itu juga merupakan tugas rutin yang dijalankan pihak polis. Untuk memastikan keselamatan orang ramai, bukannya berunsur politik seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Selepas mendapat aduan, pihak kami telah menjalankan pemantauan dan memang benar terdapat pelanggaran undang-undang dalam kalangan peserta RXZ Members 5.0 yang menunggang secara melulu sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain. Termasuk di kawasan lebuh raya dan jalan negeri.

“Bunyi ekzos yang diubah suai pula sangat kuat sehingga mengganggu pesakit di hospital dan masyarakat yang tinggal berdekatan.

“Jadi ini memang tugas rutin polis, tak ada kena mengena dengan politik atau ada arahan sesiapa,” katanya.

1.34% peserta RXZ Members 5.0 langgar peraturan

Terdahulu, polis telah menahan 185 motosikal dan 292 saman dikeluarkan sepanjang dua hari operasi dijalankan di sekitar daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Antara kesalahan yang dikesan adalah tiada cermin sisi, tiada lesen memandu, pengubahsuaian ekzos kenderaan dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Selain itu, sebanyak 72 kes kemalangan berlaku. Empat daripadanya merupakan kes kemalangan maut yang membabitkan peserta program RXZ Members 5.0.

Sementara itu, Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, 1.34 peratus peserta program Himpunan RXZ Members 5.0 dikenakan tindakan kerana melanggar peraturan.

Tindakan pihak berkuasa itu mengundang rasa tidak puas hati peminat permotoran yang mendakwa telah mensabotaj program tersebut.

Sumber: Bernama, Harian Metro

The post Himpunan RXZ Members 5.0 mungkin tidak akan diterus tahun depan? Polis Terengganu nafi sabotaj program permotoran appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar