-->

Sampah sarap meningkat 5 kali ganda pada sambutan hari merdeka, merdeka kah sikap masyarakat kita?

Walaupun kita sudah mencapai kemerdekaan yang ke-66, tetapi merdeka kah kita semua dengan perubahan tingkah laku dan sikap?

Merdeka bukan sahaja diertikan sebagai satu kebebasan yang dinikmati tetapi sikap bertanggungjawab masyarakat yang mencerminkan bangsa dan negara.

Sambutan merdeka semalam disambut dengan begitu meriah, namun sikap pengunjung sangat mengecewakan apabila didapati tidak bertanggungjawab dalam menguruskan sampah.

Pengunjung buang sampah

Menerusi laporan dari Buletin Tv3, sangat menyedihkan apabila pengunjung yang duduk di bahagian ‘granstand’ membuang sampah di bahagian tempat duduk.

Penyelia kontraktor pembersihan, Syarikat Alam Flora Bhd, Umar Amsyar Redza berkata, seramai 53 orang pekerja ditempatkan di Dataran Putrajaya sejak 12 tengah malam sebelum sambutan bagi membersihkan sampah kawasan itu.

Orang ramai sudah mula datang untuk menyaksikan perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan sejak tengah malam. Kebanyakan mereka berkumpul di Dataran Putrajaya bagi mendapatkan lokasi yang sesuai.

Sampah sarap yang ditinggalkan pengunjung meningkat lima kali ganda. Paling menyedihkan orang ramai tidak menjaga kebersihan dengan meninggalkan sisa makanan serta barangan lain seperti tikar serta kotak yang dijadikan sebagai tempat duduk tanpa ada tanggungjawab untuk membuangnya di tong yang disediakan.

“Kita menjangkakan sebelum jam 5 petang ini semua sampah sarap dapat dibersihkan dan dibawa keluar,”katanya di sini.

Sementara itu, pihak Perbadanan Putrajaya dalam hantaran di media sosial turut merakamkan ucapan terima kasih kepada wira-wira kebersihan yang telah bertungkus lumus sebelum, semasa dan selesai sambutan Hari Kebangsaan.

Rata-rata netizen juga sedih melihat sikap dan tingkah laku orang ramai yang tidak bertanggungjawab yang hanya mementingkan diri sendiri.

Sumber: Buletin TV3, Perbadanan Putrajaya

The post Sampah sarap meningkat 5 kali ganda pada sambutan hari merdeka, merdeka kah sikap masyarakat kita? appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar