-->

‘Plan berbulan madu kami terjejas!’ – Pasangan China dakwa temui kamera tersembunyi dalam soket di bilik hotel di Sabah

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada pasangan warga China yang mendakwa menemui kamera kecil tersembunyi dalam soket bilik penginapan.

Beliau berkata, dalam laporan yang diterima pada petang 7 September lalu, pengadu mendakwa kamera tersembunyi tersebut dipasang dalam soket di sebuah hotel di bandar raya itu.

“Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana perbuatan mengaibkan.

“Rampasan ke atas barang kes telah dibuat dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan,” katanya.

Dalam laporan portal Xiaohongshu pada 14 September lalu, pengadu memaklumkan dia dan suami menempah bilik hotal tersebut melalui Airbnb.

Selepas tiba di lapangan terbang pada jam 2 pagi, mereka terus menuju ke hotel tersebut dan mendaftar masuk jam 3 pagi, 6 September.

Pasangan itu kemudian melakukan pemeriksaan dalam bilik untuk mengesan kewujudan kamera tersembunyi sebelum menemui kamera tersebut.

“Apabila suami saya suluh soket itu menggunakan lampu suluh telefon bimbit, ada pantulan cahaya di permukaannya.

“Jadi, kami buka panel soket dan terkejut apabila mendapati ada kamera tersembunyi yang dipasang di antara dua port USB.

“Selepas menemui kamera itu, kami terus menghubungi ejen Airbnb. Malangnya dia tidak membalas mesej saya,” katanya.

Keesokan harinya, pasangan itu membuat laporan polis. Namun mereka dimaklumkan oleh polis bahawa ejen Airbnb menuduh mereka enggan membayar kos penginapan RM400.

“Mengapa saya perlu melalui masalah ini semua hanya untuk mengelak daripada membayar RM400 semalam untuk penginapan? Plan kami nak berbulan madu pun dah terjejas.

“Polis juga meminta saya memadamkan hantaran di media sosial, yang mana saya akur tanpa berfikir dua kali sebelum melakukannya.

“Tetapi selepas kembali ke China, saya mengambil keputusan untuk berkongsi semula pendedahan itu untuk memberi amaran kepada orang lain kerana ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, polis menafikan dakwaan wanita itu.

Sumber: Harian Metro, Weird Kaya

The post ‘Plan berbulan madu kami terjejas!’ – Pasangan China dakwa temui kamera tersembunyi dalam soket di bilik hotel di Sabah appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar