-->

Penjawat awam maut dibelasah suspek yang mengesyaki mangsa menjalinkan hubungan sulit dengan isterinya

Seorang penjawat awam berusia 51 tahun dilaporkan maut selepas bergaduh dengan seorang lelaki dalam kejadian yang berlaku di sebuah kedai di Kampung Cabang Sungai Hala, pagi Ahad, 3 September 2023.

Menurut saksi, dua lelaki berkenaan terdahulu dilihat berbual kira-kira 20 minit sebelum suspek mula menyerang mangsa lalu berlaku pergelutan di antara mereka.

“Saya lihat mereka bertumbuk dan saya cuba meleraikan pergaduhan itu. Tetapi saya tidak berani mendekati mereka berikutan masing-masing terlalu agresif. Saya hanya memberi amaran mahu menghubungi polis.

“Tetapi amaran tidak diendahkan sehingga polis datang untuk meleraikan mereka,” kata saksi, Zahid Hasran, 28, mekanik bengkel motosikal.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Machang dengan menaiki ambulans. Tetapi mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital yang hanya beberapa meter dari lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun mengesahkan kejadian itu dan suspek berusia 46 tahun telah ditahan.

Siasatan awal mendapati, suspek bertindak demikian kerana mengesyaki mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.

Difahamkan, suspek bekerja di sebuah syarikat swasta di ibu kota, manakala isterinya dan mangsa bekerja di sebuah jabatan sama di Kuala Krai.

Mangsa mengalami kecederaan dan pendarahan serius di bahagian muka, parah di kedua belah mata serta patah tulang rusuk sebelah kiri.

Tiada sebarang senjata yang digunakan dalam kejadian itu dan suspek hanya mengalami kecederaan di bahagian kedua belah tangannya.

Semakan mendapati, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. Keputusan ujian saringan air kencing juga turut mendapati suspek negatif dadah.

Suspek kini ditahan dan akan direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: Harian Metro

The post Penjawat awam maut dibelasah suspek yang mengesyaki mangsa menjalinkan hubungan sulit dengan isterinya appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar