-->

Peniaga pisang goreng maut dipukul pelanggan yang berang ditegur sentuh jualannya dengan tangan

Seorang peniaga pisang goreng dilaporkan maut akibat dipukul pelanggan gara-gara tidak berpuas hati dengan teguran mangsa dalam kejadian yang berlaku di sebuah pasar di Pokok Assam, Taiping.

Menurut laporan media tempatan, mangsa yang dikenali sebagai Ah Kun terdahulu menegur suspek yang menyentuh pisang gorengnya dengan tangan, kerana bimbang makanan itu tercemar.

Tidak berpuas hati dengan teguran itu, suspek mula bertengkar dengan mangsa dan kemudian berlaku pergelutan di antara mereka.

Bimbang keadaan menjadi semakin teruk, mangsa melarikan diri ke lorong bersebelah pasar itu. Suspek pula menggunakan kesempatan itu untuk merosakkan gerai mangsa dan beredar dari lokasi kejadian.

Ah Kun kembali semula ke gerai untuk membersih dan menyusun semula dapurnya untuk meneruskan perniagaan.

Namun, suspek datang semula dan menyerang mangsa dari belakang di mana dia memukul kepala Ah Kun menggunakan sebatang kayu, lalu segera melarikan diri dengan motosikalnya.

Serangan itu telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kira-kira dua jam selepas kejadian itu, polis telah berjaya menahan suspek berusia 49 tahun dan direman selama beberapa hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: Lobak Merah, China Press, Sinchew

The post Peniaga pisang goreng maut dipukul pelanggan yang berang ditegur sentuh jualannya dengan tangan appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar