-->

‘Kalau betul nak bantu, pergi JPJ ambil motosikal, bayar saman & hidupkan semula road tax, insurans’ – Ada netizen tak setuju cubaan normalisasikan benda yang salah

Semalam tular pempengaruh yang juga pelakon membelikan motosikal baharu untuk penunggang p-hailing yang sebelum itu terpaksa berjalan kaki selepas motosikalnya disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas kesalahan cukai jalan telah tamat tempoh dan tiada insurans.

Muhammad Shahrul Shah, 26, bapa kepada dua anak itu berkata, dia mengakui kesalahan tersebut dan menyerah kunci serta motosikalnya kepada JPJ. Malah beliau menjadikan insiden itu sebagai pengajaran buat dirinya.

Jangan normalisasikan benda yang salah

Bagaimanapun, tindakan pempengaruh berkenaan membelikan motosikal baharu kepada Muhammad Shahrul mengundang pelbagai reaksi netizen. Walaupun ramai yang mengatakan itu adalah rezekinya, tidak kurang juga menganggap perbuatan itu seperti menormalisasikan perkara yang salah.

“Jika benar mahu membantu, lebih baik pergi ke JPJ untuk ambil semula motosikal yang disita. Bayar saman dan perbaharui cukai jalan dan insurans.

“Jangan kita mempromosikan amalan sebegini dan memandang rendah kepada penguatkuasaan undang-undang negara. Orang tidak lagi menghormati undang-undang jika sikap sebegini menjadi pujian, bukan lagi satu kesalahan.

“Orang yang melanggar undang-undang sepatutnya memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahannya. Itu barulah tauladan yang betul kepada masyarakat,” kata Syed Andrias Al-Hafiz.

Hadiah motosikal baharu, timbulkan persepsi yang salah di mata masyarakat

Peminat dunia permotoran, Putera berpendapat tindakan itu bukan sahaja menegakkan benang yang basah, malah akan menjadi satu alasan yang digunakan untuk melanggar undang-undang dan menimbulkan persepsi yang salah.

“Selepas ini aku malas nak ambil cukai jalan motosikal buruk aku tu. Biar kena sita, untung-untung dapat motor percuma sebab ramai rakyat Malaysia yang suka mengejar populariti murahan.

“Patutlah Malaysia masih tidak maju sebab semua sibuk menegakkan benang yang basuh. Undang-undang dibuat untuk dipatuhi. Pergilah ke mana-mana sekali pun di dalam dunia ini, semua tempat ada undang-undang yang perlu dipatuhi.

“Jangan jadikan isu kemiskinan sebagai lesen besar dan alasan untuk tidak melanggar undang-undang. Jika hari ini seseorang itu melanggar undang-undang dan kemudian dibantu. Tidak mustahil akan datang lebih ramai yang beri alasan sama.

“Untuk yang tidak tahu, cukai jalan yang paling murah untuk motosikal, RM80 pun boleh dapat,” kata Putera.

Masih nak bertimbang rasa?

Seorang lagi netizen tampil mendakwa pernah menjadi mangsa penunggang p-hailing yang membabitkan kesalahan yang sama.

“Tangan saya patah tulang, dilanggar penghantar makanan yang melanggar lampu isyarat merah. Dia tak ada insuran, tak ada lesen. Akibatnya saya terpaksa tanggung semua sendiri. Perkeso lambat lagi nak claim. Tiga minggu saya hilang pendapatan.

“Saya buat GrabFood, tak ada siapa yang nak support. Siapa yang nak beli beras, pampers, susu dan belanja sekolah anak-anak saya?

“Bila dah jadi begini, masih nak bertimbang rasa? Penghantar makanan yang melanggar saya itu langsung tiada sedikit pun perasaan simpati,” katanya.

The post ‘Kalau betul nak bantu, pergi JPJ ambil motosikal, bayar saman & hidupkan semula road tax, insurans’ – Ada netizen tak setuju cubaan normalisasikan benda yang salah appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar