-->

‘Lagi cakap, lagi bangang tau?’ – Ustaz Syamsul Debat tegur Abang Tesla, usah keluarkan kenyataan kecilkan hati kaum isteri

Beberapa minggu lalu, media sosial dihebohkan dengan cerita pempengaruh TikTok berkahwin dua mengundang pelbagai reaksi netizen. Keadaan bertambah menjadi lebih tegang apabila individu berkenaan mengeluarkan kenyataan bahawa isteri pertama untuk dihargai, manakala isteri kedua untuk dicintai.

Tidak cukup dengan itu, sesi podcast pasangan berkenaan bersama dengan selebriti juga dikecam teruk oleh netizen susulan pempengaruh itu mendakwa dirinya akan berkahwin lagi sekiranya isteri yang kedua tidak mampu memberi zuriat.

Isu tersebut turut menarik perhatian pendakwah bebas yang juga penceramah motivasi, Ustaz Syamsul Debat. Dalam video ceramahnya yang tular Rabu lalu, beliau menegur pempengaruh berkenaan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai isu poligami.

“Minggu ni teruk betul orang lelaki kena balun, macam hilang nilai kemerdekaan. Ini semua Abang Tesla punya pasal.

“Saya nak pesan, orang yang sudah berpoligami. Kalau rasa-rasa diri kita ini bukanlah bagus sangat, ada kelemahan, tak usah share-share dengan orang lain. Selepas itu kau keluar statement pula nak mengajar orang lain.

“Adil dalam Islam ini bukan mengikut selera dan nafsu, tak. Adil dalam Islam adalah meletakkan sesuatu itu kena pada tempatnya. Itu yang perlu difahami.

“Lagi cakap, lagi bangang tau? Selepas itu yang bertanya soalan pun tak kena, yang menjawab soalan pun tak kena, yang memberi pandangan pun tak kena. Tak usah, jangan,” katanya.

Fikir dulu sebelum bercakap

Dalam pada itu, Syamsul turut mengingatkan bahawa, hati isteri perlu dijaga dan tidak sesuka hati untuk mengeluarkan kenyataan kononnya isteri pertama perlu dihargai, manakala isteri kedua untuk dicintai.

“Isteri pertama untuk dihargai dan isteri kedua untuk dicintai? Tak kecil ke hati isteri pertama? Tak berhak ke dia untuk dicintai? Hanya untuk dihargai saja? Susah senang sama-sama, habis yang isteri nombor dua dicintai? Jangan kau hargai, kau cinta je? Jangan hargai dia?

“Habis isteri yang nombor tiga? Kecik hati tak yang nombor tiga? Isteri ketiga untuk diapa? Untuk diapa-apakan? Yang keempat?

“Itulah sebab jangan keluarkan statement kalau rasa-rasa diri anda itu tidak mempunyai kelayakan nak bercerita (mengenai isu tersebut). Fikir dulu sebelum bercakap,” ujarnya.

Sumber: Twitter

The post ‘Lagi cakap, lagi bangang tau?’ – Ustaz Syamsul Debat tegur Abang Tesla, usah keluarkan kenyataan kecilkan hati kaum isteri appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar