-->

KJ setuju pencen Ahli Parlimen perlu dihapus, termasuk pencen Penjawat Awam yang memberi kesan kepada kewangan negara

Awal Ogos lalu, Presiden Muda Syed Saddiq mencadangkan sistem pencen bagi seluruh ahli politik dihapuskan kerana kaedah itu dilihat tidak adil jika dibandingkan dengan penjawat awam yang telah lama berkhidmat.

“Saya sarankan kerajaan hapuskan sistem ini kerana bagi penjawat awam, mereka perlu bekerja lebih 30 tahun dan baru berhak menerima pencen.

“Berbeza dengan ahli politik, mereka baru masuk pejabat terus layak menerima pencen seumur hidup.

“Inilah punca ramai ahli politik tua tidak mahu melepaskan jawatan. Bergaduh dengan pimpinan anak muda kerana lagi lama mereka berkhidmat sebagai ahli Parlimen, semakin tinggi jumlah pencen,” katanya.

KJ cadang pencen penjawat awam turut dihapuskan

Senada dengan Syed Saddiq, bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang juga bersetuju dan menambah, pencen penjawat awam juga perlu dihapuskan.

Dalam podcast Keluar Sekejap semalam, Khairy berkata, penghapusan sistem pencen ahli politik dan penjawat awam itu dapat membantu mengimbangi fiskal negara.

“Saya rasa pencen ini, zamannya sudah berlalu. Semasa saya dalam Jemaah Menteri, saya kata ada tiga perkara yang boleh kita buat untuk menjaga fiskal negara.

“Pertama, kenalkan semula GST. Kedua, rasionalisasi subsidi. Ketiga, adalah untuk hentikan pencen.

“Tetapi ini untuk penjawat awam masih ada dalam perkhidmatan, skim pencen diteruskan. Tetapi untuk semua penjawat awam baru selepas tarikh ditetapkan, contohnya 1 Januari 2023, semuanya dimasukkan ke dalam KWSP,” katanya.

Jelas Khairy lagi, pemansuhan sistem pencen itu perlu dilakukan segera kerana ia memberi kesan kepada kewangan negara. Malah, kerajaan mungkin perlu menanggung sehingga RM50 bilion untuk pencen penjawat awam dalam masa 10 tahun akan datang sekiranya pencen tidak dihapuskan.

Sumber: Astro Awani, Sinar Harian

The post KJ setuju pencen Ahli Parlimen perlu dihapus, termasuk pencen Penjawat Awam yang memberi kesan kepada kewangan negara appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar