-->

Suri rumah simbah air panas pada anak sehingga cedera parah, kerana berang mangsa habiskan data internet di telefon bimbitnya

Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menyimbah air panas pada anaknya hanya kerana mangsa menghabiskan data internet.

Bagaimanapun, tertuduh berusia 37 tahun itu tidak mengaku bersalah, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sengaja menyimbah air panas pada anak lelakinya berusia 13 tahun yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah.

Tertuduh berang selepas mendapati anak kedua daripada empat beradik itu telah menghabiskan data internet di telefon bimbit miliknya.

Kejadian itu berlaku di kediaman mereka di Sungai Udang pada jam 2.56 pagi, 27 Jun 2022.

Untuk kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 326 A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan denda atau sebatan.

Selain itu, tertuduh juga didakwa selalu memukul mangsa dan perbuatannya itu terbongkar selepas rakan mangsa menyedari terdapat kotoran seperti kesan luka di baju sekolah mangsa.

Remaja itu kemudian memaklumkan kepada ibunya, sebelum individu berkenaan membuat laporan polis.

Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar memohon mahkamah tidak memberi jaminan kerana mangsa dan tertuduh tinggal di kediaman yang sama.

Tiada sebarang rayuan bagi jaminan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 26 Oktober depan.

Sumber: Sinar Harian

The post Suri rumah simbah air panas pada anak sehingga cedera parah, kerana berang mangsa habiskan data internet di telefon bimbitnya appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar