-->

Fahmi Fadzil cadang wujudkan slot ‘Fitnah Apa Hari Ini’ di RTM untuk tangani penyebaran berita fitnah & palsu

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bercadang untuk mewujudkan satu slot tambahan dalam Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi menangani masalah penyebaran maklumat berunsur fitnah atau palsu di media sosial.

Bagaimanapun menterinya, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, pihaknya akan berbincang dan menelitikan cadangan itu terlebih dahulu.

“Ada cadangan untuk slot dalam Berita RTM, program ‘Fitnah Apa Hari Ini’. Jadi ini satu cadangan, mungkin kita akan bincang nanti. Kita perlu teliti perkara ini,” katanya.

Fahmi berkata demikian di Dewan Rakyat selepas Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail (PH-Keadilan) mencadangkan kerajaan mewujudkan satu saluran khas untuk menangkis berita fitnah dan palsu.

“Kalau boleh, orang kampung yang biasa dengar berita dan sebagainya. Saya nak cadangkan siaran semak berita fitnah supaya cerita fitnah dalam aplikasi tertentu boleh dirujuk dalam satu saluran sahaja,” katanya.

Sebelum itu, Fahmi menjelaskan kerajaan bersifat terbuka dalam menerima sebarang kritikan daripada mana-mana pihak.

“Sepanjang Tambun (Anwar Ibrahim) mentadbir Kerajaan Perpaduan hari ini, tidak ada seorang wartawan telah ditangkap oleh pihak berkuasa, tidak ada satu surat khabar yang telah ditutup.

“Sekarang ini lebih terbuka. Itu adalah komitmen pihak kerajaan, komitmen Tambun,” katanya yang mengulas mengenai pertanyaan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman (PN) mengenai kenyataan lapan veteran media tempatan.

Lapan veteran berkenaan menyatakan kebimbangan apabila beberapa portal berita didakwa menerbitkan berita yang dilabelkan menyinggung kerajaan telah disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Sumber: Harapan Madani, Berita Harian

The post Fahmi Fadzil cadang wujudkan slot ‘Fitnah Apa Hari Ini’ di RTM untuk tangani penyebaran berita fitnah & palsu appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar