-->

‘Cikgu lempang muka sampai sakit gigi kakak’ – Murid dakwa dikasari guru, sampai takut nak hadir ke sekolah

Permintaan anak perempuan untuk tidak hadir ke sekolah kerana enggan bersemuka dengan salah seorang guru di sekolah, membuatkan ibunya berasa tidak sedap hati.

Difahamkan, kanak-kanak berkenaan baru sahaja berpindah ke sekolah tersebut sejak April lalu dan mengadu kepada ibunya mengenai seorang guru yang dikatakan garang serta selalu memukul murid.

Pengadu bagaimanapun bersangka baik dan menjelas guru berkenaan garang kerana mahu anak muridnya menjadi pandai.

Hal itu juga menyebabkan anaknya seringkali termenung. Apabila ditanya, dia hanya menjawab takut. Takut dengan guru berkenaan yang selalu memukul murid.

Muka dilempang sehingga demam

Di satu hari apabila kanak-kanak itu pulang dari sekolah, dia mengadu kepalanya telah dipukul menggunakan buku oleh guru terbabit. Hal itu menyebabkan dia tidak mahu hadir ke sekolah untuk keesokan harinya.

Hari seterusnya, mangsa pulang dari sekolah dalam keadaan menangis teresak-esak.

“Kakak dah cakap, cikgu garang. Cikgu lempang muka kakak sampai sakit gigi kakak…”

Terkejut dengan kata-kata si anak, pengadu terus membawanya ke klinik. Doktor mengesyaki mangsa ditampar dengan kuat sehingga menyebabkan anaknya mengalami demam. Doktor juga memberi surat untuk mangsa dirujukkan ke hospital.

Guru terbabit enggan mohon maaf, tegas itu cara dia mengajar murid

Keesokkan hari, pengadu dihubungi pihak sekolah yang memintanya datang kerana anaknya menangis. Sampai di sekolah, pengadu mendapati anaknya berada dalam keadaan ketakutan.

“Saya beritahu pada Guru Besar, PK HEM tentang apa yang saya lalui untuk pulihkan Aisya (dari trauma). Tiga tahun bukan satu jangka masa yang singkat.

“Cikgu yang pukul releks je, minta maaf pun tak. Dengan selamba jawab itu memang cara dia mengajar.

“Saya cakap, saya tak kisah cikgu nak marah dia ke, nak pukul dia ke, tetapi bukan di muka atau kepala. Cikgu pun tahu dalam Islam juga melarang kita memukul anak di bahagian muka dan kepala.

“Macam biasa, diam. Hanya Guru Besar dan PK HEM saja yang cuba menenangkan saya. Minta peluang tengok macam mana selepas ini,” katanya.

Cikgu cubit sampai lebam di kaki

Namun dalam insiden terbaru, anaknya mengadu guru yang sama telah mencubit kakinya sehingga lebam kerana tidak membawa buku. Sedangkan buku tersebut telah diletak dalam beg dan mungkin telah diambil oleh adiknya yang suka mengkhianati kakaknya.

Menurut kanak-kanak itu, “Cikgu suruh pilih nak pukul macam mana. Last-last cikgu cubit” dan meninggalkan kesan lebam.

Pengadu mahu memaklumkan kejadian itu kepada suaminya, tetapi ditegah oleh anaknya.

“Jangan mama, cikgu kata tadi, bila kena pukul sikit mengadu dengan mak ayah. Kakak tak nak la”.

Sementara itu di ruangan komen, netizen menggesa pengadu membuat laporan polis dan beberapa lagi pihak berkaitan terutamanya aduan kepada pihak Kementerian Pendidikan agar guru itu dikenakan tindakan tegas.

“Minta laporan hospital, buat laporan polis dan ambil tindakan undang-undang. Buat aduan juga ke Kementerian Pendidikan. Nak mendidik bukan hukum meninggalkan kesan pada murid,” kata Man.

“Sakitnya hati baca. Melampau cikgu macam ni. Mental budak pun boleh rosak sebab takutkan seorang cikgu. Tolonglah, orang seperti ini tidak layak menjadi pendidik,” kata Fifi.

Sumber: Facebook

The post ‘Cikgu lempang muka sampai sakit gigi kakak’ – Murid dakwa dikasari guru, sampai takut nak hadir ke sekolah appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar