-->

‘Abang Mamat kita tak dapat, sebab dia berada di tempat yang lebih tinggi’ – Seloroh Nabil ketiadaan Mamat di GV10 dikecam ramai

Program Gegar Vaganza musim ke-10 kembali menghangatkan pentas dengan menampilkan gandingan tiga pengacara iaitu Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Elly Mazlein.

Baru sahaja melangkah masuk ke minggu pertama Ahad lalu, program ini sudah mula menjadi perhatian. Bukan kerana peserta tetapi, tutur kata salah seorang pengacara yang dikecam ramai.

Isu mula timbul apabila Nabil Ahmad berseloroh tentang ketiadaan vokalis Exists, Mamat sebagai peserta. Namun, Ezad Lazim berjaya menempatkan diri dalam program GV musim ke-10 kali ini.

Elly Mazlein bergurau dengan mempersoalkan ketiadaan Mamat dalam pertandingan sedangkan Ezad diundi masuk mengisi kekosongan slot musim kali ini.

“Memanglah minat Exists. Ingatkan Mamat,” kata Elly.

Nabil kemudian mempertahankan Ezad dengan berkata: “Jangan cakap macam tu. Ezad ada kat sini tau. Abang Mamat kita tak dapat sebab dia berada di tempat yang lebih tinggi.”

Gurauan berlapik itu dengan pantas disambut Jihan Muse: “Ah ye, dia (Mamat) tengah hiking.”

Kelihatan Jihan memberi peringatan menunjuk ke arah Nabil dengan mimik wajah tanpa suara ‘kau ni kan’ barangkali gurauan tersebut tidak sesuai untuk tatapan umum program siaran langsung.

Mamat atau nama sebenarnya, Mohd. Ali Kamarudin merupakan pemenang tempat ketiga musim pertama GV tahun 2014.

Ahad lalu, bertempat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), 16 bekas peserta GV membuat persembahan konsert minggu pertama demi merebut hadiah lumayan iaitu RM200,000.

Sementara itu, akaun media sosial Nabil Ahmad dihujani dengan pelbagai komen netizen yang menyentuh isu tersebut.

Sumber: Kosmo Online, TikTok

The post ‘Abang Mamat kita tak dapat, sebab dia berada di tempat yang lebih tinggi’ – Seloroh Nabil ketiadaan Mamat di GV10 dikecam ramai appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar