-->

2 pelajar IPT maut selepas Myvi yang dinaiki mereka merempuh treler di laluan bertentangan

Dua lelaki yang juga merupakan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dilaporkan maut dalam kemalangan yang berlaku pada awal pagi Rabu, di Jalan Muar-Tangkak, selepas kenderaan yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd. Talib berkata, pemandu Myvi berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu termasuk ke laluan bertentangan.

“Kereta Myvi dari arah Tangkak menuju ke Segamat, hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

“Pemandu Myvi, Muhammad Hazim Abd Halim, 25, disahkan meninggal dunia dan penumpangnya, Muhamad Fikri Amaludin, 24, juga maut di tempat kejadian.

“Kedua-duanya merupakan pelajar universiti, mayat mereka dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Daerah Tangkak untuk tindakan lanjut,” katanya.

Pemandu treler berusia 37 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut abang kepada Muhammad Hazim, Muhd Haziq, 26 berkata, kedua-dua mangsa merupakan sahabat baik sejak dari kecil. Mereka umpama isi dengan kuku dan selalu menghabiskan masa bersama sejak dari zaman sekolah rendah.

“Ketika kecil, kedua-dua mereka jarang berenggang. Boleh dikatakan setiap hari arwah Muhammad Fikri ke rumah kami. Tak sangka mereka pergi pun bersama-sama,” katanya.

Sementara itu dalam satu video tular yang dirakam oleh orang awam menunjukkan penemuan video dari kamera papan pemuka (dashcam) milik mangsa.

Semakan pada video terakhir mendapati Myvi berkenaan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler tersebut. Ramai yang mengesyaki pemandunya mengalami microsleep semasa memandu.

Sumber: Kosmo, Harian Metro, Info Semasa

The post 2 pelajar IPT maut selepas Myvi yang dinaiki mereka merempuh treler di laluan bertentangan appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar