-->

Wanita dakwa dirogol lelaki baru dikenali selepas mengikutnya pulang ke rumah untuk menagih dadah

Seorang wanita berusia 34 tahun membuat laporan polis dan mendakwa dia telah dirogol oleh seorang lelaki yang baru dikenalinya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, siasatan awal mendapati mangsa mengenali suspek berusia 41 tahun itu di perhentian bas, Isnin lalu.

Suspek kemudian mengajak mangsa menaiki motosikalnya lalu dibawa ke rumah yang terletak di Pandan Indah, untuk menagih dadah.

Bagaimanapun, semasa berada di rumah itu, mangsa telah dipukul oleh suspek di bahagian badan, kepala dan muka sebelum dirogol. Kejadian itu turut disaksikan oleh seorang wanita yang dipercayai teman wanita suspek.

Bertindak di atas laporan itu, polis telah menahan dua suspek berusia 41 dan 39 tahun di sebuah hotel di Batu Caves, Gombak, pada jam 6.30 petang Rabu.

Semakan rekod turut mendapati suspek pertama mempunyai 29 rekod berkaitan jenayah dan dadah, manakala suspek kedua mempunyai sembilan rekod dadah.

Keputusan ujian saringan air kencing kedua-dua suspek juga disahkan positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Kedua-duanya direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Sumber: Harian Metro

The post Wanita dakwa dirogol lelaki baru dikenali selepas mengikutnya pulang ke rumah untuk menagih dadah appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar