-->

Penghantar makanan ditembak polis kerana pakai helmet di dalam shopping mall

Seorang Pegawai Polis dari Balai Polis Khlong Luang, menembak penghantar makanan yang tidak bersenjata selepas dia didapati melanggar prosedur keselamatan dengan memakai topi keledar (helmet) di dalam sebuah bank di wilayah Pathum Thani, Bangkok.

‘Menariknya’, sesetengah orang awam menyokong tindakan pegawai polis berkenaan yang dianggap menjaga keselamatan orang ramai di tempat awam.

Penghantar makanan, Arkorn Yuenyong, 27, ditembak di kaki kiri pada jam 5.30 petang oleh Timbalan Inspektor Trafik, Phantae Buawichaisin.

Penghantar makanan abai peraturan & arahan pegawai polis

Siasatan mendapati, Arkorn didakwa enggan mematuhi arahan pegawai berkenaan yang terdahulu meminta dia menanggalkan topi keledar semasa masuk ke pusat beli-belah.

Arahan itu dikeluarkan bagi menjaga keselamatan bank dan kedai emas yang berada dalam pusat beli-belah itu. Di mana kebanyakan penjenayah menyembunyikan identiti mereka dengan memakai topi keledar semasa melakukan jenayah rompakan.

Rakan mangsa, Sakkarin Chato, 22, bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut. Katanya, Arkorn kerap memakai topi keledar di dalam pusat beli-belah setiap hari untuk memasukkan wang di mesin deposit tunai. Mereka tidak mempunyai masa untuk menanggalkan topi keledar kerana terikat dengan jadual yang padat untuk menghantar pesanan makanan.

Jelas Sakkarin, pada hari kejadian dia dan Arkorn datang ke pusat beli-belah itu untuk mendepositkan wang di Siam Commercial Bank (SCB). Seorang pegawai Phantae yang duduk di medan selera kemudian menghampiri Arkorn dan memintanya menanggalkan topi keledar.

Ketika itu, Arkorn telah selesai memasukkan wang dan mahu beredar dan tidak mengendahkan arahan pegawai Phantae.

Keluar & acu pistol ke arah penghantar makanan

Tindakan Arkorn menyebabkan Phantae berang kerana arahannya tidak dipatuhi. Tetapi Arkorn meminta Phantae berhenti merungut, tanpa menduga Phantae mengeluarkan pistol yang diacu kepadanya.

Arkorn menyangka Phantae hanya sekadar mahu mengugutnya dan tiba-tiba tembakan dilepaskan mengenai kakinya.

Sementara itu, Superintenden Kiattisak Mitprasart menjelaskan, kes rompakan di kedai emas dan bank dalam pusat beli-belah itu adalah perkara biasa dan Phantae ketika itu hanya sekadar menjalankan tugasnya untuk mmemastikan keselamatan keadaan di lokasi kejadian selamat.

Ramai netizen di Thailand bersetuju dengan tindakan pegawai Phantae, tidak kurang juga ada yang menyifatkan tindakannya itu tidak wajar.

Selain itu, timbul juga dakwaan yang mengatakan Phantae mabuk. Tetapi Kiattisak menjelaskan, keputusan ujian alkohol Phantae adalah negatif.

Kiattisak memberi jaminan pihaknya akan menyiasat kejadian itu secara adil dan telus. Kedua-dua mereka akan disoal siasat dan bukti akan dikumpul sebelum menjatuhkan sebarang pertuduhan.

Sumber: Thaiger

The post Penghantar makanan ditembak polis kerana pakai helmet di dalam shopping mall appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar