-->

Pengasuh aniaya budak 4 tahun, dihukum penjara 12 bulan, denda RM10,000 & bon berkelakuan baik

Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu semalam menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap pengasuh wanita yang didapati bersalah atas pertuduhan memukul anak asuhannya dalam kejadian yang tular di media sosial baru-baru ini.

Tertuduh, Melona Eva Ezwa Musah, 27, yang mengaku bersalah atas pertuduhan menganiaya mangsa berusia empat tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal juga didenda RM10,000 dan dikenakan bon berkelakuan baik selama dua bulan.

Hakim Amir Syah Amir Hassan memerintah Melona dikenakan hukuman penjara 12 bulan tambahan sekiranya dia gagal membayar denda RM10,000.

Mengikut fakta kes, Melona didakwa melakukan kesalahan itu di tempat kerjanya di sebuah taska di Penampang pada jam 9 pagi hingga 10 pagi, 10 Ogos 2023.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 31 (2) akta yang sama.

Terdahulu, peguam yang mewakili tertuduh, Hairul Vaiyron Othmon, memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan memandangkan anak guamnya telah ‘dihukum’ apabila berada dalam kemurungan dan menghadapi penghinaan ekoran video kejadian itu tersebar di media sosial.

Selain itu, tertuduh telah mengaku bersalah dan dengan itu telah menyelesaikan kes tersebut, seterusnya boleh menjaga kedua ibu bapanya.

Awal Ogos lalu, tular video pengasuh terbabit mengasari mangsa berusia empat tahun, mengundang kemarahan orang ramai yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadapnya.

Video rakaman kamera litar tertutup menunjukkan mangsa dipukul dan ditampar menggunakan pembaris semasa makan, sambil disaksikan oleh anak-anak asuhan yang lain.

Perkara itu hanya diketahui ibu bapa mangsa selepas mendapati berlaku kecederaan di kepala anak mereka. Selepas menyaksikan video CCTV dalam taska, pasangan itu terus ‘berdepan’ dengan pengasuh berkenaan.

Sumber: Harian Metro

The post Pengasuh aniaya budak 4 tahun, dihukum penjara 12 bulan, denda RM10,000 & bon berkelakuan baik appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar