-->

Pelajar IPT pinjam duit along untuk penuhi gaya hidup beli smartphone, vape, laptop & beg tangan mewah

Gara-gara mahukan pinjaman secara cepat dan segera, ramai yang mengambil langkah mudah dengan membuat pinjaman dengan ceti haram atau sindiket Along.

Menerusi satu laporan dari Persatuan Hak Masyarakat Malaysia (PHMM) merekodkan sebanyak 32,880 kes membabitkan nilai tuntutan termasuk kadar faedah hampir RM10 bilion oleh sindiket along yang ‘dikenakan’ terhadap mangsa.

Pengerusinya Mohammad Mustafa Shaik Ismail berkata, data berkenaan direkodkan badan bukan kerajaan (NGO) itu dari September 2022 hingga Mei lalu.

Setiap hari PHMM menerima kira-kira 30 aduan mangsa yang dijerat dengan Along meminta bantuan.

“Sepanjang September hingga Mei lalu, kita merekodkan 32,880 aduan membabitkan nilai pokok pinjaman RM8 juta. Serta hampir RM10 bilion nilai tuntutan Along termasuk kadar faedah yang dikenakan terhadap mangsa.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 7,852 kes berjaya diselesaikan membabitkan nilai RM4 juta yang dibayar kepada Along,” katanya.

Mohammad Mustafa berkata, pihaknya mendapati sebanyak 80 peratus mangsa along terdiri daripada kalangan wanita.

“Dari segi pecahan kes, 50 peratus mangsa adalah keluarga susah yang membuat pinjaman along kerana desakan dan kelangsungan hidup seperti membeli makanan dan susu anak, membayar bil serta sewa tertunggak dan perubatan.

“Sebanyak 20 peratus pula ialah pelajar universiti dan kolej yang meminjam along kerana gaya hidup seperti beli beg tangan mewah, telefon pintar, komputer riba dan vape. Bukan untuk tampung bayar yuran pengajian.

Manakala sebanyak 30 peratus lagi mangsa mengakui mereka meminjam along untuk membeli dadah dan berjudi serta berseronok dengan wanita,” katanya.

Menurutnya, mangsa bukan hanya terdiri daripada rakyat biasa, malah daripada latar belakang berlainan. Termasuk selebriti, pegawai polis, tentera, doktor, ahli perniagaan serta orang kenamaan berpangkat Datuk..

Sumber: Harian Metro

The post Pelajar IPT pinjam duit along untuk penuhi gaya hidup beli smartphone, vape, laptop & beg tangan mewah appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar