-->

Dua beradik parah ditetak dengan kapak oleh lelaki warga emas ceroboh masuk ke rumah

Tular di media sosial sejak beberapa hari lalu video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki warga emas menetak dua kanak-kanak perempuan menggunakan sebilah kapak.

Kedua-dua mangsa dilaporkan cedera parah, namun keadaan mereka kini dilaporkan stabil dan sedang dipantau oleh pihak hospital. Manakala suspek telah berjaya ditangkap untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, video kejadian itu tular sejak 20 Julai lalu. Dua beradik berkenaan terdahulu sedang menonton televisyen dan terdengar pintu rumah diketuk.

Salah seorang mangsa kemudian bergegas membuka. Sebaik saja pintu dibuka, suspek yang memegang kapak terus menolak pintu dan menetak mangsa.

Dalam keadaan kakinya yang tempang, suspek berjalan menuju ke arah mangsa kedua. Mangsa yang ketakutan cuba melarikan diri tetapi gagal dan ditetak di bahagian kepala.

Cubaan suspek menetak mangsa buat kali kedua tidak kesampaian apabila mangsa berjaya melarikan diri dan terus keluar dari rumah.

Suspek yang berang kemudian melepaskan kemarahannya pada mangsa pertama dengan menetaknya di bahagian belakang badan sebanyak dua kali sebelum keluar dan mengejar mangsa kedua.

Menurut laporan media tempatan, kejadian itu berlaku di Kampung Huo Weirzhong, wilayah Dingying, Henan, China. Jurucakap polis Dingying mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sedang menjalankan siasatan.

Siasatan mendapati, suspek dan keluarga mangsa tinggal di perkampungan yang sama. Pada 8 Julai 2023, suspek berusia 65 tahun itu membawa sebilah kapak dan memasuk rumah tersebut untuk menetak dua beradik terbabit.

Suspek dikatakan bertindak sedemikian kerana dendam lama. Suspek mengambil kesempatan untuk masuk ke rumah mangsa ketika nenek mereka keluar untuk mengambil surat. – Agensi

The post Dua beradik parah ditetak dengan kapak oleh lelaki warga emas ceroboh masuk ke rumah appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar