-->

Nahas pesawat di Elmina, 10 disahkan maut, video pesawat terjunam tular di media sosial

Polis mengesahkan nahas pesawat yang berlaku di Lebuhraya Guthrie, berhampiran kediaman Elmina di Seksyen U16, Shah Alam pada jam 2.30 petang tadi, mengorbankan 10 mangsa termasuk penunggang motosikal.

Difahamkan, pesawat berkenaan membawa enam penumpang termasuk orang kenamaan dan dua kru penerbangan itu dalam perjalanan dari Langkawi menuju ke Subang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua mangsa dipercayai berusia antara 30-an hingga 50-an. Dua lagi mangsa adalah pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui lebuhraya berkenaan.

“Pesawat peribadi itu berlepas dari Langkawi dan dijangka mendarat di Subang jam 2.50 petang. Pesawat itu juga sudah mendapat ‘clearance’ untuk mendarat. Bagaimanapun ia terhempas dua minit sebelum waktu mendarat,” katanya.

Mayat kesemua mangsa akan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Orang kenamaan yang terbabit dalam nahas itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai dan Exco Pahang, Datuk Seri Johari Harun.

Dalam kenyataan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berkata, pesawat Beechcraft Model 390 dengan nombor pendaftaran N23JV itu dikendalikan oleh Jet Valet Sdn Bhd, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada jam 2.08 petang ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

Menara Kawalan Trafik Udara Subang memaklumkan tiada sebarang panggilan ‘mayday’ yang dibuat oleh pesawat sebelum nahas tersebut.

Jet Valet ketika ini sedang menungguh pengesahan daripada pihak berkuasa mengenai insiden itu dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk membantu siasatan.

Dalam pada itu, video rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kereta saksi yang melalui lebuhraya itu dan kamera litar tertutup (CCTV) dari premis berhampiran juga tular di media sosial.

Berdasarkan video, jelas kelihatan pesawat itu menjunam sebelum meletup dan api kebakarannya mengenai kereta saksi.

Sumber: Harian Metro, Buletin Utama

The post Nahas pesawat di Elmina, 10 disahkan maut, video pesawat terjunam tular di media sosial appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar