-->

Lando tidak bertanding PRN, dakwa duitnya banyak habis selepas ditipu parti yang diwakilinya sebelum ini

Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) makin terasa. 12 Ogos ini merupakan tarikh yang ditunggu-tunggu oleh rakyat di enam buah negeri bagi menentukan siapakah tompok pimpinan yang akan memimpin negeri mereka.

Sementara itu, pelakon dan juga aktivis masyarakat, Lando Zawawi mengambil keputusan tidak bertanding dalam PRN kali ini.

Menurut Lando, antara sebab dia membuat keputusan tersebut adalah kerana masalah kewangan yang dihadapi selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu serta janji yang gagal dikotakan parti diwakilinya.

Dia juga mendedahkan banyak wangnya habis ketika bertanding di Parlimen Tanjung Karang pada PRU15 dan dia berasa tertipu dengan parti diwakilinya.

“Saya berterus-terang pengalaman saya ini agar jadi satu teladan kepada semua calon di luar sana supaya berhati-hati dengan parti politik.

“Perbincangan dengan satu parti semasa PRU15, saya tanya bagaimana dengan bajet? Mereka kata pakai duit sendiri,” katanya.

Menurutnya lagi, dia perlu menggunakan kos yang besar yang bergerak atas nama Brotherhood dan pendapatannya pun atas usaha Brotherhood.

“Saya disuruh guna duit sendiri dulu dan dikira kemudian. Sampailah akhirnya duit saya digunakan terlebih dahulu.

“Apabila keputusan dikeluarkan mereka terus senyap. Ingatkan habis di situ saja, rupanya orang-orang parti yang bekerja pun tak dapat bayaran,” katanya.

Lando mendakwa, sehingga kini tenaga kerja yang dipanggil ranting parti menuntut RM20,000 dari parti berkenaan, manakala wangnya sendiri sekitar RM70,000 ke RM80,000 belum dilunaskan.

“Saya hantar surat kepada Presiden. Apabila semak, rupanya bajet itu ada tapi habis sebelum saya dicalonkan. Hairannya kerana yang berjanji dengan saya bukan calang-calang kerana ‘level’ (peringkat) mereka tinggi,” katanya.

Dalam PRU15, Lando bertanding di Parlimen Tanjung Karang atas tiket parti Pejuang, tetapi tewas kepada calon Perikatan Nasional, Datuk Dr Zulkapferi Hanafi.

Sumber: Harian Metro, Lando Zawawi

The post Lando tidak bertanding PRN, dakwa duitnya banyak habis selepas ditipu parti yang diwakilinya sebelum ini appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar