-->

‘Kita tak boleh paksa negara lain terima cara kita (lesen digital)’ – Anthony Loke jawab isu 2 rakyat Malaysia disaman di Thailand

Sebelum ini tular di media sosial video dua individu mengatakan mereka tidak berpuas hati disaman oleh pihak berkuasa Thailand kerana memandu tanpa kad lesen fizikal.

Meskipun dua rakyat Malaysia berkenaan menjelaskan bahawa kerajaan Malaysia kini menggunakan lesen digital berbanding kad fizikal, polis yang menahan mereka menjelaskan undang-undang itu tidak digunapakai di negaranya.

Hal ini mengundang pelbagai reaksi rakyat Malaysia. Tampil menjawab segala persoalan itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menjelaskan, rakyat Malaysia tidak wajar meminta pihak berkuasa negara lain menerima pakai pelaksanaan kaedah lesen memandu digital Malaysia.

“Kita sudah perjelaskan, pemanduan di luar negara tertakluk kepada undang-undang negara itu. Kita tidak boleh minta mereka terima cara kita.

“Kerajaan juga tidak boleh meminta mana-mana negara lain bagi menerima pelaksanaan konsep pendigitalan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana setiap negara mempunyai undang-undang sendiri,” katanya.

Mengulas lebih lanjut, konsep pendigitalan diperkenalkan bagi mengurangkan kesesakan di pejabat dan kaunter JPJ.

Walaupun begitu, kerajaan tidak menghenti pemberian lesen secara fizikal dan masih diberikan sekiranya individu berkenaan memerlukannya.

“Jika memerlukan lesen fizikal bagi pemanduan di luar negara, dia boleh mendapatkannya daripada JPJ ketika memperbaharui lesen. Ini sesuatu yang saya rasa orang ramai perlu tahu bahawa kita tak ada bidang kuasa di negara lain,” ujarnya.

Sumber: Harian Metro

The post ‘Kita tak boleh paksa negara lain terima cara kita (lesen digital)’ – Anthony Loke jawab isu 2 rakyat Malaysia disaman di Thailand appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar