-->

Kesatuan Pekerja KWSP buat bantahan aman, pakai lencana ‘Pengurusan KWSP Zalim’

Ahli Kesatuan Kakitangan Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KKLKWSP) seluruh negara membuat bantahan aman dengan memakai butang lencana yang memaparkan perkataan ‘Pengurusan KWSP Zalim’.

Tindakan itu diambil setelah kesatuan itu tidak berpuas hati terhadap pihak pengurusan organisasi dan melancarkan bantahan ini sehingga 16 Ogos.

Menurut Presidennya, Ahmad Hamzah, ia berikutan pihak pengurusan tidak memberi perhatian. Selain enggan melayani dan berbincang tentang beberapa tuntutan ahli kesatuan.

“Antara cadangan kesatuan adalah berkaitan dengan keseimbangan gaji (balancing), pelarasan gaji, penyeragaman terma dan syarat perkhidmatan, faedah persaraan, elaun wilayah, cross selling, bonus, bantahan penubuhan jawatankuasa tatatertib pengurusan, pengisian jawatan Pengarah Wilayah Sabah dan penambahan geran tahunan kesatuan,” katanya dalam kenyataan.

Rayu PMX campur tangan

Jelas beliau, pihaknya telah menghantar cadangan kepada pengurusan. Tetapi malangnya, tiada cadangan atau maklum balas yang diterima. Kengganan pengurusan untuk berbincang dan memberi cadangan balas menyebabkan wujudnya perbezaan kepentingan.

Selain itu, Hamzah berkata, terdapat jurang pendapatan besar antara pengurusan dan pekerja bawahan. Secara tidak langsung menjadi barah yang menyakitkan pekerja.

Sebagai wakil pekerja di KWSP, maka wajarlah kesatuan mengambil tindakan ke atas pengurusan KWSP yang tidak memberi perhatian dan tidak berminat bagi penyelesaian secara harmoni.

Kesatuan memahami kesan daripada tindakan ini tetapi pihak pengurusan tidak mengendahkan cadangan dan mengabaikan tuntutan pekerja bawahan,” tambahnya.

Dalam pada itu, KKLKWSP juga merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk masuk campur bagi meleraikan kemelut yang dihadapi mereka.

Jika isu yang membelenggu lebih 3,000 ahli kesatuan itu tidak diselesaikan segera, difahamkan mereka juga tidak akan teragak-agak untuk mengadakan piket dan bantahan secara terbuka.

KWSP terbuka untuk berbincang & cari penyelesaian

Susulan itu, Pengurusan (KWSP) terbuka untuk meneruskan perbincangan dengan barisan kepimpinan Majlis Presiden Kesatuan KWSP bagi mencari penyelesaian terbaik.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah berkata, walaupun perbezaan pendapat dari semasa ke semasa mungkin timbul, tetapi  pengurusan percaya ia boleh diatasi dengan sikap terbuka dan saling memahami.

Jelasnya pihak pengurusan telah mengadakan beberapa sesi perbincangan untuk mendapatkan maklum balas dan pandangan ahli jawatankuasa kesatuan. Di mana mereka telah membentangkan cadangan balas mereka. Perbincangan itu juga termasuk sesi khusus dengan kesatuan di Sabah dan Sarawak bagi tujuan sama.

“Malangnya, pemimpin dan ahli jawatankuasa kesatuan enggan menghadiri sesi baru-baru ini yang bertujuan untuk memuktamadkan cadangan mengenai perkara-perkara yang dibangkitkan,” jelas Amir.

Sumber: Malaysia Gazette, MalaysiaKini, Berita RTM

The post Kesatuan Pekerja KWSP buat bantahan aman, pakai lencana ‘Pengurusan KWSP Zalim’ appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar