-->

Anggota polis jadi tokan dadah dicekup, lima bungkusan dadah syabu bernilai RM 168k ditemui

Seorang anggota polis yang disyaki menjadi tokan dadah, ditahan dalam serbuan polis di kawasan Taman Sejati Indah, Sungai Petani, Kedah Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, tokan dadah berusia 32 tahun itu ditahan pada jam 12.05 tengah hari oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

“Hasil pemeriksaan menemui lima bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah syabu yang dianggarkan bernilai RM168,000 dengan berat 5,291 gram untuk pasaran tempatan,” katanya.

Pemeriksaan ujian saringan awal ke atas suspek didapati negatif dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Suspek yang sudah berkahwin itu kemudian direman selama tujuh hari sehingga 16 Ogos untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Kesemua dadah yang dirampas boleh digunakan sehingga 26,450 penagih dadah jenis syabu.

“Polis khususnya JSJN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menyalah guna kuasa dengan menjalankan aktiviti dadah.

“Tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang PDRM. Orang ramai diharap dapat membantu polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah atau dadah,” katanya.

Sumber: Berita Harian

The post Anggota polis jadi tokan dadah dicekup, lima bungkusan dadah syabu bernilai RM 168k ditemui appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar