-->

Ibu 2 anak meninggal dunia selepas ambil suntikan besarkan payu dara dari pakar kecantikan tidak bertauliah

Seorang wanita dilaporkan meninggal dunia dipercayai berpunca daripada pengambilan suntikan membesarkan payu dara yang dilakukan oleh pakar kecantikan yang tidak bertauliah di sebuah rumah di Skudai.

Lapor akhbar berbahasa Cina, mangsa berusia 29 tahun, meninggal dunia pada jam 7 pagi, 2 Ogos 2023.

Suami mangsa, Wong, 35, berkata, isterinya mengalami komplikasi dan dimasukkan ke hospital. Dia percaya, insiden yang menimpa isterinya itu berpunda daripada suntikan asid hyluronik untuk membesarkan payu dara.

Difahamkan, mangsa pada awalnya mahu menjalani pembedahan ‘menarik benang’ muka mikro untuk menegangkan kulitnya. Tetapi, pakar kecantikan tidak bertauliah itu memujuk mangsa menjalani prosedur membesarkan payu dara.

Selepas menjalani prosedur itu, mangsa mengalami sakit dada dan kakitangan pusat kecantikan itu pula enggan menerima bayaran semasa mangsa mahu membuat bayaran.

30 Julai, mangsa masih belum sihat dan dibawa oleh rakannya ke klinik berhampiran untuk menjalani pemeriksaan. Doktor klinik berkata, keadaan itu berlaku mungkin disebabkan oleh ubat bius yang berlebihan.

Jam 7 malam, mangsa masih mengalami kesakitan di bahagian luka dan berasa tidak selesa. Dia terus dikejarkan ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

Wanita itu kemudian dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada pagi 2 Ogos selepas dia dikatakan tidak dapat berjalan. Jam 7 pagi hari yang sama, mangsa dilaporkan telah meninggal dunia.

Pemergian mangsa meninggalkan dua anak lelakinya yang masih kecil berusia 9 dan 12 tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada suami mangsa pada jam 7.08 pagi, 2 Ogos 2023.

Tiada sebarang tangkapan dibuat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) pula menggesa keluarga mangsa tampil membuat aduan rasmi kepada pihaknya agar siasatan boleh dilakukan mengikut Akta 586 terhadap pusat rawatan kecantikan tersebut.

Sumber: Harian Metro

The post Ibu 2 anak meninggal dunia selepas ambil suntikan besarkan payu dara dari pakar kecantikan tidak bertauliah appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar