-->

Harga ayam turun, pengguna desak peniaga turunkan harga makanan terutamanya sate ayam

Harga ayam segar dilaporkan menyusut di antara RM2 sehingga RM3 sekilogram sejak minggu lalu.

Penurunan harga mendadak sehingga mencecah RM6.90 sekilogram dikatakan kerana permintaan bagi ternakan tersebut berkurangan selepas Hari Raya Aidiladha.

Ada juga yang mengatakan penurunan harga ini kemungkinan disebabkan oleh bahang Pilihan Raya Negeri yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Namun begitu, menurut Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Ma­laysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng berkata, pengguna dalam kalangan umat Islam rata-rata mempunyai bekalan daging korban yang diterima, sekali gus menyebabkan trend pembelian ayam menurun.

Susulan penurunan harga ayam mentah itu, netizen meminta peniaga-peniaga untuk menurunkan harga makanan yang berasaskan ayam terutamanya sate ayam.

“Saya mohon peniaga sate untuk turunkan harga sate memandangkan ayam sudah murah. Jadilah peniaga yang bertanggungjawab,” kata netizen.

Menerusi hantaran itu, ramai yang bersetuju memandangkan kos bagi penyediaan sate adalah rendah.

“Setahu saya, kos penghasilan sate ayam adalah rendah. Peniaga dah boleh dapat 90-100 cucuk sate untuk 1 kilogram daging ayam. itu tak dikira lagi yang gunakan kulit atau lemak untuk dijadikan salah satu part sate yang dicucuk.

“Jadi, masih ada lagi keuntungan yang diperolehi sekiranya turunkan harga,” kata netizen lain.

Walau bagaimanapun, ada yang membantah cadangan ini dan menyatakan kos-kos lain juga perlu diambil kira.

“Kos ayam mentah turun anda nampak, kos bahan mentah lain-lain untuk buat sate naik dan tak turun-turun anda tak nampak,” katanya.

Sumber: Kosmo, Group Kedai Apa Turun Harga Hari Ini

The post Harga ayam turun, pengguna desak peniaga turunkan harga makanan terutamanya sate ayam appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar