-->

‘Dulu senang dapat RM200 sehari, sekarang RM30 pun susah’ – Pemandu teksi akui pendapatan merosot sejak kehadiran pemandu e-hailing

Pemandu teksi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) mengakui pendapatan seharian mereka merosot semenjak kehadiran pemandu e-hailing.

Bapa kepada tiga orang anak, Khairul Arifin Muhammad, 44, bekerja sebagai pemandu teksi sejak tujuh tahun lalu untuk menyara keluarganya.

Sebelum ini, mudah bagi mereka untuk mendapat hasil RM150 hingga RM200 sehari. Tetapi keadaan itu kini berubah, mereka sukar mendapatkan pelanggan dan adakalanya pulang dengan tangan kosong.

“Sehari dapat satu trip menghantar penumpang bagaikan satu rahmat. Malah pernah saya dan pemandu teksi lain pulang dengan tangan kosong tanpa seorang penumpang.

“Sekarang, kalau saya datang menunggu awal pagi sekalipun, belum tentu lagi dapat penumpang.

“Pendapatan kami merosot hampir 80 peratus. Nak mendapatkan RM30 sehari pun susah,” katanya memetik laporan daripada Harian Metro, Jumaat, 4 Ogos 2023.

Menurut Pengerusi Pemilik Teksi Melayu LTSM, Rostam Mokhtar, seramai 57 pemandu yang merupakan ahlinya berkhidmat di lapangan terbang berkenaan. Namun, hanya 20 pemandu yang masih aktif dan bertahan.

Sebelum ini, mereka mampu meraih pendapatan RM200 ke atas sehari dan pernah memperoleh pendapatan RM6,000 ke RM7,000 sebulan.

Tetapi keadaan berubah sejak kehadiran pemandu e-hailing. Ada sebahagian pemandu teksi yang terpaksa berhenti dan mencari kerja lain untuk menyara kehidupan.

Sumber: Harian Metro

The post ‘Dulu senang dapat RM200 sehari, sekarang RM30 pun susah’ – Pemandu teksi akui pendapatan merosot sejak kehadiran pemandu e-hailing appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar