-->

‘Cukuplah, jangan putar belitkan fakta’ – Ali Puteh dah cuba bayar hutang Hidayah guna aset, tapi ditolak

Pelawak Ali Puteh menafikan dakwaan ramai kononnya dia tidak berusaha untuk membayar hutang hampir RM80,000 setelah tewas dalam kes saman yang difailkan oleh kakak iparnya, Siti Norhidayah Mohd. Ali.

Dalam kenyataan kepada portal hiburan Boom!, Ali mengakui kesal dengan kenyataan yang dibuat oleh kakak iparnya seolah-olah mahu menunjukkan kepada umum bahawa dia tidak mengambil serius tentang perkara itu.

“Saya kalau boleh tidak mahu mengulas panjang, tetapi cukuplah kalau saya kata, dia tahu apa yang sebenarnya berlaku.

“Saya sudah cuba untuk membayar RM75,486.48 seperti yang dituntut pada Mac lalu. Tetapi ditolak kerana dia hanya mahukan bayaran secara tunai. Sedangkan saya cuba berkompromi untuk menyelesaikan semuanya dengan harta benda yang saya ada,” katanya.

Aset sedia ada tak cukup untuk bayar hutang

Jelas Ali, dia tidak mempunyai cara yang lain untuk membayar hutang itu. Malah, selepas mengira segala aset yang dimiliknya, masih belum cukup untuk membayar hutang puluhan ribu itu.

Dengan keadaan tidak menerima sebarang tawaran dalam industri hiburan, adalah mustahil untuk Ali menyediakan wang tunai sebanyak itu untuk membayar hutang tersebut.

“Janganlah buat macam saya ini tidak berusaha atau buat tak tahu. Saya tak faham bagaimana lagi caranya, apa yang dia mahu.

“Sebab itulah saya cadangkan untuk membayar semuanya menggunakan alternatif lain. Tetapi ditolak mentah-mentah.

“Saya hantar surat melalui peguam dan memaklumkan kepada pihak sana untuk menyelesaikan jumlah gantirugi dan kos yang dituntut dengan menyerahkan aset dimiliki saya kepada Hidayah seperti motosikal Yamaha RXZ, Yamaha 125Z dan Yamaha Y15.

“Dan untuk mencukupkan jumlah yang dituntut, bakinya dibayar secara tunai. Perkara ini saya pernah bertanya kepada peguam dia, beliau menyatakan jika tiada tunai, bayarlah dengan aset.

Jangan putar belitkan fakta

“Cukup-cukuplah, jangan putar belitkan fakta. Kita sama-sama tahu apa yang terjadi,” katanya.

Bagi Ali, dia telah berusaha untuk membayar hutang itu dengan berniaga di media sosial. Tetapi apabila dia baru sahaja hendak bernafas, usahanya terganggu bilamana dia terpaksa berdepan dengan tohmahan di media sosial.

“Semakin saya diam, semakin saya dihina. Tetapi tidak mengapa, saya lebih matang sekarang. Saya mahu fokus, mahu berniaga sambal, tak mahu sabotaj perniagaan sendiri. Saya berserah pada rezeki Allah. Dia yangg bagi semuanya,” ujarnya.

Sumber: Boom!

The post ‘Cukuplah, jangan putar belitkan fakta’ – Ali Puteh dah cuba bayar hutang Hidayah guna aset, tapi ditolak appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar