-->

Cemburu, remaja lelaki mengaku bunuh rakannya yang didakwa telah mengganggu teman wanitanya

Penemuan mayat seorang lelaki di dalam parit di Jalan Pasir, Kampung Sungai Payung Baruh, Bagan Datuk pada Rabu lalu membawa kepada penahanan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang disyaki terbabit dalam kes bunuh itu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, suspek ditahan pada Sabtu lalu di Hutan Melintang.

Siasatan awal polis mendapati, mangsa berusia 21 tahun adalah rakan dan jiran kepada suspek yang tinggal di taman perumahan di Teluk Intan.

Suspek mengaku dia bertindak membunuh rakannya pada 20 Ogos lalu kerana cemburu dengan mangsa yang didakwa telah mengganggu teman wanitanya berusia 20 tahun.

Mayat mangsa kemudian dibuang ke lokasi tersebut. Orang awam yang kebetulan melalui kawasan itu pada jam 4.48 petang, menemui mayat mangsa yang memakai baju merah berseluar pendek dalam keadaan tertiarap.

Bedah siasat lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh menemui beberapa kesan luka di bahagian leher, tangan dan kaki. Punca kematian mangsa adalah disebabkan luka potongan di bahagian kepala dan leher.

Suspek direman selama seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sumber: Bernama, Harian Metro

The post Cemburu, remaja lelaki mengaku bunuh rakannya yang didakwa telah mengganggu teman wanitanya appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar