-->

Budak dikejarkan ke hospital selepas biarkan dirinya digigit labah-labah Black Widow kerana mahu menjadi Spider-Man

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun di Bolivia dikejarkan ke hospital selepas membiarkan dirinya digigit labah-labah Black Widow yang berbahaya untuk menjadi seperti adiwira kegemarannya, Spider-Man.

Insiden itu dilaporkan berlaku di Vichuloma, Bolivia Tengah. Mangsa yang tidak didedahkan namanya ketika itu sedang bermain di sungai berhampiran rumahnya. Kanak-kanak itu menemui labah-labah tersebut ketika memindahkan batu besar.

Tanpa menyedari kesan dan akibat dari gigitan serangga beracun itu, dia mengambil labah-labah itu dan meletaknya di belakang tapak tangan dengan harapan serangga itu menggigitnya.

Selepas hajatnya ‘ditunai’, mangsa pulang ke rumah dan mula mengalami gejala seperti sakit badan dan kekejangan otot yang teruk.

Pada awalnya, mangsa tidak memberitahu ibunya mengenai gigitan labah-labah itu. Tetapi selepas tiga jam menahan derita, akhirnya mangsa memberitahu ibunya yang dia telah digigit oleh labah-labah.

Bimbang melihat keadaan anaknya yang semakin teruk, wanita itu terus membawa mangsa ke Hospital Besar San Juan de Dios di bandar Oruro.

Kes itu dirujuk kepada pakar kanak-kanak yang kemudian menghubungi Ketua Program Penyakit Zoonotik, Ernesto Vasquez, untuk membantu mengenal pasti jenis labah-labah yang menggigit mangsa.

“Kanak-kanak itu tanpa memikirkan risiko terus mengambil dan meletakkan labah-labah itu di belakang tapak tangannya yang menyebabkan dia digigit serangga beracun itu.

“Keadaannya kini sudah pulih. Dia (mangsa) menjelaskan, tujuannya mengambil labah-labah itu adalah kerana mahu menjadi seperti Spider-Man,” kata Vasquez.

Sementara itu ibu mangsa turut mengesahkan anaknya peminat tegar Spider-Man. Tetapi tidak menyangka dia boleh melakukan perkara berbahaya itu untuk menjadi seperti Spider-Man.

Mangsa bernasib baik kerana selepas doktor mengenal pasti spesis labah-labah itu, mangsa terus diberi ubat anti-racun yang betul dan keadaannya kembali pulih selepas 30 minit kemudian.

“Labah-labah hitam atau Black Widow ini tidak akan menyebabkan sesiapa pun menjadi Spider-Man. Sebaliknya, serangga ini membahayakan nyawa,” kata Vasquez.

Sumber: Oddity Central

The post Budak dikejarkan ke hospital selepas biarkan dirinya digigit labah-labah Black Widow kerana mahu menjadi Spider-Man appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar