-->

Budak merajuk kena marah sebab tak buat kerja sekolah, terus pergi ke balai & merayu dimasukkan ke rumah anak yatim

Selepas bertengkar dengan ibu mengenai kerja sekolah yang tertangguh, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di China bertindak melarikan diri dari rumah dan terus menuju ke balai polis untuk membuat aduan, selain merayu untuk ditempatkan di rumah anak yatim.

Media China baru-baru ini melaporkan insiden pelik itu yang berlaku di Chongqing. Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kanak-kanak itu masuk ke Balai Polis Huixing di Yubei sebelum disambut oleh dua anggota polis wanita.

Mereka kemudian mula berbual dan kanak-kanak itu memaklumkan dia telah ditegur oleh ibunya kerana tidak menyiapkan kerja sekolah, lalu keluar dari rumah untuk mencari rumah anak yatim.

Selepas dipujuk oleh pegawai berkenaan, kanak-kanak itu memberi maklumat mengenai ibu bapanya. Polis kemudian menghubungi wanita berkenaan yang mengesahkan berlaku pertengkaran di antara mereka mengenai kerja sekolah yang tertunggak.

Anggota polis cuba memujuk kanak-kanak lelaki itu pulang ke rumah | Gambar : Oddity Central

Namun, wanita itu tidak pernah menyangka anak lelakinya sanggup melarikan diri dari rumah dan mahu masuk ke rumah anak yatim hanya disebabkan hal remeh itu.

“Mak marah saya setiap hari sebab saya tak buat kerja rumah. Dia membebel setiap hari suruh saya belajar. Saya keluar dari rumah dan lebih rela tinggal di rumah anak yatim,” kata kanak-kanak itu.

Selepas menenangkan kanak-kanak itu, polis menghubungi bapanya untuk datang membawa anaknya pulang.

Pada awalnya kanak-kanak itu enggan mengikuti bapanya pulang. Tetapi pegawai polis memujuknya dan menjelaskan bahawa itu adalah pilihan yang terbaik berbanding tinggal di rumah anak yatim.

Video kejadian itu tular di media sosial minggu lalu, ramai yang terkejut dengan perbuatan kanak-kanak berkenaan. Ada yang berpendapat generasi pada masa ini sangat malas dan terlalu dimanjakan. Manakala yang lain pula memuji tindakan polis yang berjaya memujuk kanak-kanak berkenaan.

Sumber: Oddity Central

The post Budak merajuk kena marah sebab tak buat kerja sekolah, terus pergi ke balai & merayu dimasukkan ke rumah anak yatim appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar