-->

Bapa rogol & amang seksual 2 anak sehingga salah seorang mangsa hamil, dipenjara 702 tahun, 234 sebatan

Mahkamah Sesyen Muar hari ini menjatuhkan hukuman penjara 702 tahun dan 234 sebatan terhadap seorang lelaki yang mengaku bersalah atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anaknya dalam kejadian enam tahun lalu.

“Saya terima hukuman ini atas perbuatan dilakukan,” kata tertuduh berusia 53 tahun di hadapan Hakim Abu Manat.

Tertuduh diperintah menjalani semua hukuman penjara secara serentak (menjadikan hukuman penjara 42 tahun) bermula daripada tarikh ditahan 10 Julai lalu, namun hukuman sebatan dijalankan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, bekas pekerja pembersihan itu didakwa melakukan kesalahan itu 2017 terhadap dua anaknya berusia 12 dan 15 tahun di mana salah seorang mangsa hamil lima minggu.

Kesalahan itu dilakukannya di dua lokasi berasingan di Jeram dan Bakri. Kali terakhir tertuduh melakukan perbuatan terkutuk itu adalah pada 4 Julai lalu.

Perbuatan tertuduh terbongkar selepas pegawai perubatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar mendapati salah seorang mangsa yang datang mendapatkan rawatan kerana mengadu sakit dada, rupa-rupanya hamil.

Terkejut dengan perkara itu, pegawai perubatan berkenaan terus membuat laporan polis yang membawa kepada penangkapan tertuduh.

Sumber: Kosmo! Online

The post Bapa rogol & amang seksual 2 anak sehingga salah seorang mangsa hamil, dipenjara 702 tahun, 234 sebatan appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar