-->

Zul mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol, meliwat pelajar Tingkatan 3 di kebun kelapa sawit

Ahad 23 Julai 2023, seorang lelaki dicekup merogol, meliwat dan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar Tingkatan 3 di kebun kelapa sawit di Bakri, Johor.

Perbuatan itu diketahui oleh abang mangsa selepas mendapati adiknya seringkali ‘hilang’ pada jam 1.30 pagi sejak Mac hingga kali terakhir bulan Jun.

Bagaimanapun di Mahkamah Sesyen Muar hari ini, tertuduh, Zulhazreen Shah Zulkufli, 22, yang juga merupakan tukang masak di sebuah restoran makanan segera, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Tertuduh berdepan dengan tiga pertuduhan tersebut yang dilakukannya di sebuah kebun kelapa sawit dan didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol, Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 amang seksual dan Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana meliwat.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Timbalan Pendakwa Raya tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh. Namun jika mahkamah membenarkan, pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000.

Tertuduh dalam rayuannya meminta mahkamah merendahkan ikat jamin dan akan mendapatkan khidmat peguam bagi prosiding seterusnya.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM26,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh juga tidak dibenarkan mengganggu mangsa sehingga kes selesai dan perlu melaporkan diri di balai polis sekali sebulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 September depan.

Sumber: Kosmo! Online

The post Zul mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol, meliwat pelajar Tingkatan 3 di kebun kelapa sawit appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar