-->

Tukang urut rogol anak kandung berusia 14 tahun, dipenjara 72 tahun, 30 sebatan

Mahkamah Sesyen Muar hari ini menjatuhkan hukuman penjara 72 tahun dan 30 sebatan terhadap seorang tukang urut berusia 46 tahun yang didapati bersalah atas tiga pertuduhan merogol anak kandungnya.

Tertuduh mengaku bersalah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat yang turut menitiskan air mata ketika fakta kes itu dibacakan di hadapannya.

“Sebagai ayah, kamu sepatutnya menjadi wira dalam keluarga melindungi anak-anak. Saya sedih, mengapa perkara ini boleh berlaku,” katanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 14 tahun pada kali pertama jam 1.30 pagi, 22 Jun 2023. Tertuduh kemudian mengulangi perbuatan itu pada jam 2 pagi, 26 Jun 2023.

Kali terakhir tertuduh berbuat demikian adalah pada jam 4.30 pagi, 3 Julai 2023. Dan kesemua perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Batu Pahat.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan sehingga 10 kali bagi setiap pertuduhan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum dengan mengambil kira kepentingan awam.

Hakim Abu Bakar kemudian menjatuhkan hukuman 24 tahun dan 10 sebatan untuk setiap pertuduhan pertama, kedua dan ketiga.

Tertuduh diperintah untuk menjalani hukuman penjara serentak sejak ditahan pada 8 Julai 2023, manakala hukuman sebatan perlu dijalankan secara berasingan.

Sumber: Berita Harian

The post Tukang urut rogol anak kandung berusia 14 tahun, dipenjara 72 tahun, 30 sebatan appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar