-->

‘Tuhan masih sayangkan saya’ – Siti Kasim bersyukur terselamat daripada ancaman bom IED yang diletakkan di bawah keretanya

Media semalam melaporkan penemuan bom di bawah kenderaan milik peguam Siti Zabedah Kasim semasa menghantar keretanya pusat servis, jam 12 tengah hari.

Difahamkan, Siti mengetahui perkara itu selepas dimaklumkan oleh pihak pusat servis berkenaan melalui gambar yang dihantar kepadanya.

Terkejut dengan penemuan dua botol mineral itu yang diletakkan pada bahagian berdekatan tayar, Siti segera menghubungi polis untuk memaklumkan penemuan tersebut.

Unit Pemusnah Bom (UPB) kemudian dikerahkan ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan. Setelah beberapa ketika, UPB mengesahkan objek yang ditemui itu adalah alat letupan termampat (IED).

Dua botol letupan itu telah dikeluarkan dan dihantar kepada pakar untuk pengesahan lanjut.

Sementara itu dalam kenyataan kepada Harian Metro, Siti meluahkan rasa syukur kerana perkara itu disedari lebih awal sekaligus menyelamatkan nyawanya.

“Tuhan masih sayangkan saya lagi. Mujur saya ubah rancangan pergi ke pusat servis dulu. Jika tidak, mungkin perkara lebih buruk berlaku.

“Sebelum ini pun saya pernah membuat laporan polis berhubung ugutan terbabit dan ada yang sudah ditahan polis.

“Ramai yang memuat naik komen mengugut dan ada yang ingin melihat saya mati kerana terlalu membenci saya. Mereka beranggapan saya anti-Islam. Sedangkan semua itu salah faham kerana saya menyuarakan orang politik mempergunakan agama dan lain-lain,” katanya.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kes itu mengikut Seksyen 7 Akta Letupan 1957.

Sumber: Harian Metro

The post ‘Tuhan masih sayangkan saya’ – Siti Kasim bersyukur terselamat daripada ancaman bom IED yang diletakkan di bawah keretanya appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar