-->

‘Selagi ada nyawa, saya akan berjuang untuk pakcik’ – Allahyarham Salahuddin Ayub dianggap pejuang rakyat, ringankan beban rakyat dengan menu Rahmah

Berita pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengejutkan semua pihak. Allahyarham meninggal dunia pada 9.23 malam tadi pada usia 61 tahun di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Pemergian Allahyarham dirasai oleh segenap lapisan masyarakat.

Beliau adalah seorang menteri yang dikenali sebagai seorang yang sangat komited dengan tugasannya. Insentif menu Rahmah yang diperkenalkan oleh beliau sebelum ini antara satu kesungguhan beliau dalam meringankan bebanan rakyat.

Walaupun insentif tersebut dikecam oleh sesetengah pihak, namun usaha itu dilihat memberikan satu senyuman dan kegembiraan buat isi keluarga yang berpendapatan rendah dan juga pelajar-pelajar di kolej.

Ramai yang mula berkongsi satu-satu kebaikan yang ditinggalkan beliau. Beliau bukan hanya dianggap sebagai menteri tetapi dianggap sebagai pejuang rakyat.

Menerusi satu video yang dikongsikan melalui TikTok, Allayharham membacakan satu surat kiriman dari seorang rakyat untuknya ketika di sebuah majlis. Beliau kelihatan menangis dan sebak membacakan surat tersebut.

“YB, Pakcik luahkan ni bukan sebab marah,cuma nak betul-betul YB faham apa yang kami rasa kat bawah ini.

“YB, tolonglah bantu kami, simpan baik-baik surat ini,” katanya dengan sebak.

Allahyarham kemudiannya memegang tangan warga emas disebelahnya.

“Pakcik, selagi ada nyawa saya, saya akan berjuang untuk pakcik,” katanya dengan diiringi tepukan gemuruh dari penonton.

Di Twitter pula, ada yang menyatakan sangat terkesan dengan pemergian Allahyarham.

“Kami sekeluarga terkesan dengan pemergian DS Salahudin Ayub. Ada jasa arwah kepada kami. Awal tahun hari tu sewaktu kami sesak duit, kami sekeluarga survive dengan menu Rahmah.

“Tahun lepas memang teruk sangat. Nak beli barang pun mahal, makan luar pun mahal. Awal tahun n bila diperkenalkan menu Rahmah,kami sekeluarga dapat bernafas sikit, susun balik kewangan dan gaji semua tu.

“Semoga jasa dan kerja keras YB Salahudin ni ramai yang tahu dan sangat tak terbalas jasa beliau. Walaupun kami ambik tahu sangat hal politik tapi YB jaga harga barang ni memang kami sangat hargai,” tulis pengadu.

Ciapan terakhir Allahyarham juga menjadi perhatian. Sebelum beliau dikejarkan ke hospital, difahamkan beliau sempat menyantuni warga Kedah di Pekan Nat.

“Terima kasih lah semua naa. Kita jumpa lagi nanti,” tulisnya.

Sumber: TikTok, Twitter, Salahuddin Ayub

The post ‘Selagi ada nyawa, saya akan berjuang untuk pakcik’ – Allahyarham Salahuddin Ayub dianggap pejuang rakyat, ringankan beban rakyat dengan menu Rahmah appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar