-->

Rakyat komplen kaunter pejabat AKSB kosong, Timb. MB Kelantan kata, ‘Staff pergi ke tandas sekejap’

Media sosial semalam heboh dengan perkongsian seorang lelaki yang meluahkan rasa kecewanya terhadap perkhidmatan di pejabat Air Kelantan di Lubok Jong, Pasir Mas.

Menurut Hanif M Noor, dia telah cuba menghubungi pejabat berkenaan. Namun panggilannya tidak dijawab, apatah lagi emsej di aplikasi WhatsApp juga tidak menerima sebarang respon.

Hanif kemudian datang ke pejabat kira-kira jam 9.13 pagi, tiada seorang pun kakitangan yang berada di kaunter.

“Patutlah call tak angkat, WhatsApp tak balas. Rupanya tak ada seorang pun staff di kaunter. Pukul 9.13 masih tutup, padahal waktu kerja pukul 8 pagi.

“Saya masuk dan tunggu dalam 10 minit, barulah keluar seorang staff. Tetapi dia bukan jaga bahagian kaunter. Nak periksa maklumat laporan tak boleh sebab staff yang menjaga kaunter sedang bercuti.

“Boleh dia tinggalkan kaunter kosong begitu sahaja. Teruk sungguh servis Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB). Call ibu pejabat AKSB empat kali pun tak dijawab. Minta peruntukkan RM8 bilion, kalau begini layak diberi RM8 la,” katanya.

Menyedari perkara itu tular di media sosial, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menjelaskan, dia diberitahu bahawa kakitangan AKSB ketika itu pergi ke tandas dan hanya datang semula ke kaunter pada pukul 9.30 pagi.

“Saya baca dan terkejut juga. Tapi saya rujuk kepada pihak berkenaan. Rupanya kakitangan keluar sekejap untuk ke tandas dan kebetulan pelanggan itu datang. Jadi kaunter kosong. Silapnya kakitangan tidak letak notis atas kaunter,” katanya.

Mohd Amar juga kesal dengan tindakan pengadu yang membuat tohmahan terhadap kakitangan AKSB di media sosial sehingga mengundang netizen turut melakukan perkara yang sama.

“Dia datang dan buat tohmahan kata kakitangan tidak kerja sebab itu panggilan tidak dijawab serta sebagainya. Akhirnya benda ini tersebar.

“Orang guna media sosial dan suka sebar tanpa semak fakta dahulu sama ada betul atau sebaliknya,” katanya.

Sumber: Facebook Hanif M Noor, Berita Harian

The post Rakyat komplen kaunter pejabat AKSB kosong, Timb. MB Kelantan kata, ‘Staff pergi ke tandas sekejap’ appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar