-->

Pasangan warga emas disimbah dengan asid suspek wanita tempatan masih bebas

Sepasang suami isteri disimbah dengan asid oleh individu yang tidak dikenali semasa memasuki lif dalam kejadian di Pangsapuri Laksamana Jaya, Batu Caves, baru-baru ini.

Kejadian tersebut dirakamkan melalui kamera litar tertutup (CCTV) dan menjadi tular di media sosial apabila seorang individu yang dipercayai kenalan mangsa memuat naik video tersebut di Facebook.

Difahamkan, seminggu sebelum kejadian simbah asid berlaku, kedai milik pasangan ini juga hangus terbakar dipercayai angkara perbuatan khianat.

Pemangku Ketua Polis Gombak, Superintendan Noor Arifin Mohamad Nasir berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 3.10 pagi kelmarin.

“Mangsa adalah seorang wanita tempatan berusia 60 tahun dan suaminya warganegara Pakistan. Suspek bertindak menyimbah cecair dipercayai asid ke arah kedua-dua mangsa dari arah luar lif lalu melarikan diri,” katanya.

Berdasarkan video yang tular, suspek berdiri berhampiran mangsa semasa mereka sekeluarga sedang menunggu lif. Sebaik saja keluarga itu melangkah masuk ke lif, suspek terus menyimbah cecair dipercayai asid.

Kedua-dua mangsa menjerit kesakitan dan terus meluru keluar daripada lif untuk mendapatkan bantuan orang ramai. Mangsa terus dikejarkan ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.

“Salah seorang mangsa ditahan di Hospital Selayang bagi menerima rawatan lanjut dan seorang lagi dibenarkan pulang.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek adalah seorang wanita tempatan yang masih bebas,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebat.

Sumber: Harian Metro, Astro Awani

The post Pasangan warga emas disimbah dengan asid, suspek wanita tempatan masih bebas appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar