-->

Murid Tahun 3 cedera dipukul ibu tiri, gara-gara tidak faham latihan yang diajar

Tidak tahan menanggung kesakitan, seorang murid perempuan di sebuah sekolah di daerah Dungun, Terengganu bertindak membongkarkan perbuatan kejam ibu tirinya.

Murid berusia sembilan tahun itu mengadu bahawa dia dipukul ibu tirinya berusia 30 tahun, kepada seorang guru wanita semasa sesi perhimpunan di sekolah.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, guru penolong kanan berkenaan terdahulu meminta seorang guru perempuan membuat pemeriksaan. Dan alangkah terkejutnya apabila mereka mendapati bahagian belakang mangsa cedera dan lebam, dipercayai dipukul dengan objek keras.

“Polis yang menerima laporan kemudianya membawa mangsa ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

“Siasatan mendapati berlaku 11 kesan pukulan di bahagian belakang mangsa serta kesan lebam dan cedera di bahagian tangan kanan serta di bahagian kedua-dua belah peha,” katanya.

Baharudin berkata, kejadian itu dikatakan berlaku di rumah. Perbuatan suspek terhadap mangsa turut disaksikan oleh kakak mangsa berusia 15 tahun, yang merupakan OKU lembam.

Suspek dipercayai bertindak demikian kerana berang dengan mangsa yang gagal memahami pembelajaran latihan yang diajarnya.

Sebelum ini juga, mangsa pernah dipukul oleh suspek menggunakan rotan. Namun, tidak seteruk dengan kejadian baru-baru ini.

Difahamkan, mangsa merupakan anak bongsu daripada dua beradik hasil perkahwinan bapanya dengan arwah ibu kepada kedua-dua beradik itu.

Susulan kejadian itu, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah telah ditahan pada hari yang sama untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sumber: Astro Awani, Buletin TV3

The post Murid Tahun 3 cedera dipukul ibu tiri, gara-gara tidak faham latihan yang diajar appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar