-->

Lelaki nyaris maut akibat sesak nafas, selepas tertelan kunci kereta ketika bermain dengannya

Seorang lelaki Arab Saudi terpaksa menjalani pembedahan laparoskopi untuk membuka saluran pernafasannya selepas dia secara tidak sengaja tertelan kunci kereta semasa bermain dengan objek tersebut.

Pasukan perubatan di sebuah hospital di wilayah pesisiran pantai Al Qunfudah dipuji kerana berjaya menyelamatkan nyawa lelaki berkenaan dengan mengeluarkan kunci tersebut daripada saluran pernafasannya.

Bagaimanapun, masih tidak jelas bagaimana lelaki berusia 46 tahun itu boleh tertelan kunci kereta.

Namun menurut sumber berita tempatan mendakwa, mangsa sebelum itu sedang bermain dengan kunci keretanya dan secara tidak sengaja tertelan.

Lapor Gulf News, ketika lelaki itu datang ke hospital, dia terus ditempatkan di zon kecemasan selepas kakitangan menyedari dia mengalami kesukaran untuk bernafas.

Pemeriksaan x-ray mendapati, terdapat kunci kereta di saluran pernafasannya. Mangsa memaklumkan kepada doktor bahawa dia secara tidak sengaja tertelan kunci tersebut semasa bermain dengannya.

Doktor pada awalnya memutuskan untuk melakukan endoskopi bagi mengeluarkan kunci tersebut. Namun, disebabkan mangsa adalah pesakit jantung, prosedur itu menjadi rumit untuk dilakukan.

Setelah melalui pembedahan laparoskopi, kunci itu berjaya dikeluarkan dan lelaki berkenaan ditempatkan di wad untuk pemantauan selama beberapa hari bagi memastikan tiada sebarang komplikasi yang berlaku.

Sumber: Oddity Central

The post Lelaki nyaris maut akibat sesak nafas, selepas tertelan kunci kereta ketika bermain dengannya appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar