-->

Kanak-kanak lumpuh akibat kecuaian hospital awam Mahkamah Tinggi perintah bayar saman RM5 juta kepada mangsa

Seorang kanak-kanak perempuan yang dilahirkan pada 12 Mei 2020 melalui pembedahan Caesarean, mengalami kecederaan saraf tunjang. Berikutan komplikasi pembedahan yang menyebabkan dia lumpuh daripada bahagian leher ke bawah.

Menurut doktor pakar yang membuat penilaian berdasarkan keadaannya berkata, Nur Adeena Mohd Syahmir yang kini berusia tiga tahun berkemungkinan hanya hidup sehingga usia 23 tahun.

Hospital diperintah bayar saman RM5 juta terhadap Nur Adeena

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin telah mengarahkan sebuah hospital awam membayar saman sebanyak RM5 juta kepada Nur Adeena di atas kecuaian yang berlaku sehingga menyebabkan kanak-kanak itu lumpuh.

Hakim Datuk Akhtar Tahir berkata, Nur Adeena berhak mendapatkan pampasan yang mencukupi sepanjang hayatnya.

“Tiada jumlah wang yang boleh mengurangkan kesakitan dan penderitaan kanak-kanak itu. Oleh itu, mahkamah hanya boleh memberikan jumlah mencerminkan kerugian dialami serta jumlah itu tidak boleh terlalu tinggi, sebaliknya munasabah.

“Mahkamah juga berpandangan, jumlah ganti rugi diberikan mesti mengimbangi sebaik mungkin perbelanjaan tambahan yang akan ditanggung penjaga plaintif (kanak-kanak itu),” katanya.

Pegawai perubatan tidak mempunyai pengalaman melakukan pembedahan

Sebelum itu, pihak hospital tersebut membuat siasatan dalaman selepas dimaklumkan mengenai keadaan Nur Adeena yang mengalami komplikasi.

Siasatan kemudian mendapati, pegawai perubatan yang bertugas tidak mempunyai pengalaman melakukan pembedahan. Malah pembedahan itu dilakukan tanpa pengawasan daripada pakar perbidanan dan sakit puan.

Bapa Nur Adeena, Mohd Syamir kemudian memfailkan saman terhadap kerajaan dan doktor berkenaan yang didakwa melakukan kecuaian. Selain gagal bertindak demi kepentingan mangsa.

Yang terbaik mungkin bukan yang termurah

Hakim Datuk Akhtar Tahir berkata, mahkamah berpendirian bahawa pihaknya tidak diberi kuasa untuk menentukan tempat terbaik untuk mendapatkan rawatan atau cara rawatan kerana perkara itu semestinya ditentukan oleh ibu bapa Nur Adeena.

“Ibu bapa tidak boleh dibelenggu dengan beban memilih rawatan yang lebih murah berbanding rawatan yang lebih baik dan tepat pada masanya.

“Oleh itu, mahkamah tidak boleh menerima dakwaan defendan (kerajaan) bahawa tempat rawatan terbaik adalah kemudian kerajaan yang percuma dan murah.

“Ini mungkin benar, tetapi faktor lebih penting dalam pandangan mahkamah ialah memutuskan apakah rawatan terbaik. Yang terbaik mungkin bukan yang termurah,” katanya.

Sumber: Berita Harian

The post Kanak-kanak lumpuh akibat kecuaian hospital awam, Mahkamah Tinggi perintah bayar saman RM5 juta kepada mangsa appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar