-->

Bapa perkosa anak kandung, maut dibelasah oleh sekumpulan banduan

Seorang banduan yang dipenjara atas kesalahan memperkosa anak kandungnya sendiri, maut dibelasah oleh rakan banduan di Penjara Metro Depok.

Lapor portal Liputan 6, mangsa yang berusia 50 tahun itu maut selepas dibelasah secara beramai-ramai oleh banduan lain di penjara tersebut.

Jurucakap polis Metro Depok, Nirwan Pohan berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa meninggal dunia pada waktu petang Sabtu, 8 Julai 2023.

Siasatan awal mendapati, ada beberapa banduan lain yang tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang sanggup memperkosa anak perempuannya sendiri.

“Para pelaku ini kesal kerana mangsa memperkosa anaknya,” kata Nirwan.

Setakat ini, polis telah mengenalpasti lapan banduan yang memukul mangsa sehingga menyebabkan dia mengalami luka lebam di seluruh badan.

Selain itu, terdapat banduan yang memukul mangsa menggunakan paip yang dicabut daripada saluran paip di ruang tahanan.

Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami luka di perut, punggung, dada dan kemaluannya.

Selepas dibelasah, mangsa diberi minum oleh banduan lain. Mangsa kemudian mengatakan keinginan untuk mandi dan sempat terduduk di pintu bilik mandi sebelum matanya terpejam dan jatuh pengsan.

Melihat mangsa yang sudah tidak sedarkan diri, mereka melaporkan hal itu kepada pegawai penjara. Mangsa terus dikejarkan ke Hospital Bhayangkara untuk mendapatkan rawatan. Namun, doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Polis kini sedang menunggu laporan bedah siasat daripada pihak hospital. Beberapa barangan bukti turut diambil daripada tempat kejadian, termasuk paip dan pakaian mangsa.

Sumber: Liputan 6

The post Bapa perkosa anak kandung, maut dibelasah oleh sekumpulan banduan appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar