-->

Banduan dakwa didera pegawai wadar dipaksa berbogel sambil mencekah durian diberi nasi basi makanan dihidang atas pinggan berkulat

Seramai 125 banduan di sebuah penjara dekat utara Semenanjung menandatangani petisyen untuk menggesa kerajaan menyiasat perlakuan dera yang dilakukan oleh pegawai wadar.

Menurut laporan, petisyen ini merupakan kali kedua dihantar berikutan timbul dakwaan penderaan berulang di fasiliti yang sama.

Petisyen itu ditulis semua kumpulan banduan terbabit dalam kejadian itu semasa masih dalam tahanan. Petisyen kemudian diserahkan kepada peguam mereka, Husaini Abdul Rashid, menerusi dua rakan mereka yang baru dibebaskan daripada penjara.

Tuntut penjelasan tetapi tiada sebarang respon

Tahun lalu, Husaini pernah membangkitkan mengenai isu penderaan terhadap banduan di penjara dan akan merujuk perkara itu kepada Jabatan Penjara dan Kementerian Dalam negeri (KDN).

Sehingga hari ini, portal Free Malaysia Today melaporkan tiada sebarang maklum balas daripada kedua-dua pihak berkenaan mengenai dakwaan tersebut. Meskipun sejumlah emel telah dihantar untuk mendapatkan komen mereka.

Dua bekas banduan itu yang sebelum ini ditahan kerana kes dadah mendakwa, mereka didera dengan dipukul menggunakan paip polivinil klorida (PVC) dan objek tumpul. Ini kerana mereka didapati berbual dan kononnya ingkar ketika hadir sesi perhimpunan.

Banduan itu turut mendakwa pihak wadar bertindak menyembunyi paip berkenaan sewaktu lawatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) ke fasiliti itu.

Diberi nasi basi, makanan dihidang atas pinggan berulat

Selain dikenakan hukuman kerana berbual, mereka juga mendakwa tahanan reman sering kali dilayan dengan diperiksa di bahagian rongga badan apabila pulang dari mahkamah kerana disyaki cuba menyeludup dadah.

Mereka turut mendakwa banduan yang masih dalam tahanan reman pula diarahkan untuk berbaring dalam keadaan berbogel di atas lantai untuk mencekah durian (mengepak punggung).

Bekas banduan itu juga mendakwa bekalan air terhad dalam penjara. Hal ini menyebabkan mereka tidak dapat mandi selama lapan hari. Termasuk sukar membersihkan diri selepas membuang air besar dan mengambil wuduk.

Selain itu juga, makanan yang dihidangkan atas pinggan berkulat dan diberikan nasi basi serta sepotong kecil ikan kukus.

Jika ada tahanan mengadu, mereka akan dihukum wadar penjara sama ada dipukul atau dikurung seorang diri.

Dakwaan lain adalah mereka dinafikan waktu rehat untuk bersenam atau membaca, selain tidak diberi rawatan sewajarnya jika sakit.

Sumber: Berita Harian

The post Banduan dakwa didera pegawai wadar, dipaksa berbogel sambil mencekah durian, diberi nasi basi, makanan dihidang atas pinggan berkulat appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar