-->

Wanita dirakam bawa drip naik tren, undang rasa simpati orang ramai

Seorang wanita di China tular di media sosial apabila dia dirakamkan menggunakan perkhidmatan kereta api bawah tanah di Shanghai dengan membawa botol drip (intraverna atau IV). Portal berita The Paper melaporkan tingkah laku wanita terbabit dirakamkan jam 10 malam pada Mei lalu.

Menurut lelaki yang merakamkan kejadian itu, dia pada mulanya menyangkakan wanita itu membawa botol minuman.

“Saya ingatkan dia pegang botol minuman. Apabila saya menyedari itu adalah botol cecair IV, saya terus sedih. Pastinya dia seorang wanita kuat dan kehidupannya tidak mudah,” katanya.

Setelah videonya tular, wanita yang dikenali dengan nama panggilan Dongdong tampil memberi penjelasan yang dia mengalami demam selama beberapa hari. Sehari sebelum videonya dirakamkan, dia telah menerima infusi IV di hospital.

Difahamkan, wanita ini mengusahakan studio tarian di Shanghai yang terletak 20 kilometer dari kediamannya. Jelas Dongdong, dia tidak mampu pergi ke hospital pada siang hari kerana baru saja memulakan perniagaannya dan tidak mempunyai pekerja.

“Jika saya ke hospital ambil IV selepas pukul 10 malam setiap hari dan habiskan titisan pada pukul 2 pagi. Saya tidak akan mendapat rehat yang cukup. Kerana saya perlu membuka studio lebih awal,” kata Dongdong.

Oleh disebabkan itu, dia mengambil keputusan untuk mengambil cecair IV itu sendiri kerana dia sebelum ini pernah belajar dalam bidang perubatan.

Katanya lagi, pada hari dia dirakam, dia sedang dalam perjalanan pulang ke rumah menaiki kereta api bawah tanah.

“Saya baru sahaja memulakan perniagaan. Saya tidak mahu membazir wang,” kata Dongdong.

Dalam pada itu, Dongdong sedar perbuatannya itu tidak masuk akal dan meminta maaf jika ia memberikan gambaran negatif. Justeru dia memberi amaran agar orang ramai tidak mencubanya kerana akan memberikan kesan kepada alergik selain akan menyebabkan jangkitan kuman.

Rakaman itu juga memperlihatkan bagaimana perjuangan atau usaha keras masyarakat yang tinggal di bandar-bandar besar di negara China untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Sumber: South China Morning Post

The post Wanita dirakam bawa drip naik tren, undang rasa simpati orang ramai appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar