-->

2 penyamun serang polis guna parang ditembak mati, 2 lagi rakannya sempat larikan diri

Polis menembak mati dua penyamun yang cuba menyerang mereka dengan menggunakan parang selepas dikesan memecah masuk sebuah rumah di Taman Supreme, Cheras, awal pagi Khamis, 8 Jun 2023.

Lapor Harian Metro, kejadian itu berlaku dalam jam 3.30 pagi dan orang awam yang menyedari kehadiran empat suspek yang dipercayai warga asing itu segera menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dikerahkan ke lokasi kejadian.

Tiba di lokasi, empat suspek terbabit yang dianggarkan berusia antara 30-an ke 40-an cuba menyerang anggota polis menggunakan parang sebelum dua daripada suspek ditembak mati. Dua lagi rakan suspek bertindak melarikan diri.

Pemeriksaan di lokasi menemui beberapa peralatan seperti pemotong besi dan parang dipercayai digunakan oleh penyamun terbabit untuk melakukan kegiatan pecah rumah.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti suspek, termasuk dua suspek yang melarikan diri dengan menunggang motosikal dengan nombor pendaftaran palsu.

The post 2 penyamun serang polis guna parang ditembak mati, 2 lagi rakannya sempat larikan diri appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar