-->

‘Saya trauma, kepala berpinar selepas ditunjal lelaki itu’ – Mieya

Pemandu Myvi yang kepalanya ditunjal dalam video tular di media sosial baru-baru ini mengakui dia mengalami demam dan trauma selepas kejadian itu.

Pemandu berkenaan yang dikenali sebagai Mieya berkata, ini kali pertama dia dibuli sedemikian rupa dan kejadian yang berlaku pada jam 5.30 petang kelmarin membuatkan dia dan adik lelakinya trauma.

Alami demam & trauma disebabkan tindakan suspek

“Selepas dikasari, saya memang trauma. Bahkan adik saya juga trauma. Menggeletar saya nak teruskan pemanduan. Adik pula tak boleh memandu sebab masih sekolah menengah,” katanya memetik laporan daripada mStar Online, Rabu, 7 Jun 2023.

Menurut Mieya, tunjalan lelaki itu membuatkan kepalanya berpinar dan memberi kesan trauma kepadanya.

“Kepala saya berpinar selepas dipukul, tapi syukur tak cedera. Saya dan adik demam selepas pulang. Memang trauma sangat sebab ia kejadian pertama saya dibuli.

“Kekasaran yang dia lakukan itu memberikan kesan. Dia tidak boleh mengasari saya,” katanya.

Give and take

Ditanya mengenai dakwaan seorang saksi bahawa dia memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kenderaan lain hampir termasuk ke gaung, Mieya menafikan dakwaan itu.

Namun, Mieya enggan menggulas lanjut kerana butiran terperinci mengenai kejadian itu telah dijelaskan kepada pihak polis yang sedang melakukan siasatan.

“Tiada kemalangan pun berlaku, cuma kereta saya tak ada dashcam dan rakaman itu sahaja bukti yang saya ada.

“Apa yang boleh saya katakan, kalau boleh biarlah sama-sama give and take. Kita pun tahu Jalan Tapah-Cameron Highlands macam mana. Kalau tak boleh beri kerjasama, jangan salahkan orang pula,” ujarnya.

Terdahulu, pemandu Proton Persona tampil mempertahankan dirinya dan mendakwa tindakan Mieya cuba memotong kenderaannya yang hampir menyebabkan mereka mengalami kemalangan. Suspek mendakwa dia pada ketika itu membawa anaknya berusia dua tahun dan isterinya yang sedang sarat mengandung lapan bulan.

Ekoran kejadian itu, suspek telah ditahan polis dan direman selama tiga hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, Perak, untuk membantu siasatan.

Sumber: mStar Online (Shuhaniza Said)

The post ‘Saya trauma, kepala berpinar selepas ditunjal lelaki itu’ – Mieya appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar