-->

Saksi ketujuh sahkan telefon bimbit Ebit Lew pernah layari laman web lucah

Saksi ketujuh perbicaraan kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew hari ini menyambung keterangan dengan memberitahu mahkamah bahawa terdapat sejarah melayari laman sesawang lucah pada telefon bimbit yang dianalisisnya.

Juruanalisis Kanan Audio Video Polis Diraja Malaysia (PDRM) Asisten Superintendan Latifah Abdul Aziz, 43, berkata, laman sesawang itu dilayari daripada aplikasi Google dan hasil analisis itu telah dimasukkan dalam cakera video digital boleh rekod (DVD-R) untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Telefon bimbit tertuduh ada sejarah layari laman web lucah

“Hasil analisis mendapati terkandung sejarah melayari laman sesawang disyaki berunsur lucah daripada aplikasi Google dan saya pohon pegawai penyiasat rujuk DVD-R yang saya masukkan hasil analisis tersebut.

“Daripada kesemua tangkap layar yang saya buat, ada beberapa laman sesawang disyaki berunsur lucah dan juga bukan berunsur lucah,” katanya sewaktu pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi memastikan laman sesawang yang dilayari itu adalah laman sesawang yang mempunyai unsur lucah, beliau telah membuka beberapa laman sesawang dengan merujuk kepada hasil analisis. Dan mendapati ia sememangnya laman sesawang berunsur lucah.

Tertuduh turut layari laman web berkaitan gangguan seksual

Latifah berkata, antara laman sesawang yang turut dilayari termasuk wikipedia berkaitan “gangguan seksual”, “Undang-undang gangguan seksual di Malaysia”, “gurau lucah berisiko disumbat penjara” dan “Rang Undang-undang kesalahan-kesalahan seksual, hukuman seksual”.

Nor Azizah: Adakah metadata yang kamu nyatakan ini juga dapat dilihat di dalam tangkap layar yang ada di dalam hasil analisis ini ?

Latifah: Ya, untuk gambar pertama, ini adalah rumusan kesemua tangkap layar yang dibuat daripada kandungan sejarah melayari laman sesawang di dalam barang kes (telefon bimbit).

Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani hari ini dijalankan tanpa kehadiran tertuduh yang mendapat kebenaran mahkamah.

Peguam yang mewakili Ebit iaitu Ram Singh memaklumkan bahawa Ebit sedang menunaikan ibadah haji di Makkah.

Ebit, 37, berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual. Iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan disambung esok.

Sumber: Bernama, Harian Metro

The post Saksi ketujuh sahkan telefon bimbit Ebit Lew pernah layari laman web lucah appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar